PENAPIS air disumbangkan untuk Pertubuhan Kebajikan BBWM di Kampung Giching Hilir. FOTO Nurul Hana Yaacob
PENAPIS air disumbangkan untuk Pertubuhan Kebajikan BBWM di Kampung Giching Hilir. FOTO Nurul Hana Yaacob
Nurul Hana Yaacob

KEMUDAHAN mendapatkan air bersih terutama bagi penghuni di rumah anak yatim dan pusat jagaan antara yang perlu diberi perhatian.

Menyedari hakikat ini, Persatuan Usahanita Daerah Petaling mengambil inisiatif menginfakkan sebahagian hasil rezeki perniagaan ahli dengan menyumbang dua buah mesin penapis air.

Hasil sumbangan yang berterusan daripada setiap ahli sejak dua bulan lalu membolehkan pihak penganjur membeli mesin penapis air itu untuk disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah (BBWM), Kampung Giching Hilir, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Usahanita Daerah Petaling Sheila Ramlee berkata, program di bawah Biro Agama dan Sosial itu bertujuan merapatkan ukhuwah sesama ahli persatuan terdiri daripada usahawan wanita yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

PELAJAR lelaki menjamu selera dengan makan menggunakan talam di asrama mereka. FOTO Nurul Hana Yaacob
PELAJAR lelaki menjamu selera dengan makan menggunakan talam di asrama mereka. FOTO Nurul Hana Yaacob

Mereka dapat menginfakkan sebahagian hasil perniagaan untuk kerja amal di samping menambah keberkatan dalam perniagaan yang dijalankan.

“Program penyerahan mesin air ini dilakukan untuk membantu anak-anak Pertubuhan Kebajikan BBWM mendapat keperluan air mineral yang bersih dengan sistem bertapis.

Selain itu, mesin penapis air ini didatangkan dengan ‘extra tubing’ secara percuma di sinki dan memudahkan urusan membasuh bahan makanan seperti beras, ikan, daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga boleh diminum terus dari mesin itu.

“Ia membantu memudahkan urusan anak-anak membuat air kegemaran mereka dengan cepat tanpa menunggu lama,” katanya selepas menyampaikan sumbangan penapis air kepada Pengetua Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah (BBWM) Norlida Rasidi.

NORLIDA (kiri) bersama Reni Rahayou selepas pemasangan penapis air. FOTO Nurul Hana Yaacob
NORLIDA (kiri) bersama Reni Rahayou selepas pemasangan penapis air. FOTO Nurul Hana Yaacob

Turut hadir ketua program Usahanita Daerah Petaling, Reni Rahayou Mohd Zain dan Roziah Arifin dari Usahanita Daerah Hulu Langat.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur kepada Allah serta Usahanita Daerah Petaling kerana sudi menginfakkan mesin penapis air ini kepada BBWM untuk kegunaan 164 pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf dan fakir miskin di sini. Harapan kami, ukhuwah ini berpanjangan dan bukan setakat ini sahaja.

“Sebenarnya, mereka yang memberi ini akan mendapat 10 kali ganda rezeki daripada Allah dan juga dapat membersihkan harta. Selain itu, Sekolah Rendah Islam Qurratul Ain di rumah ini turut mengadakan kelas fardu ain, akademik, pengajian al-Quran, aktiviti kebudayaan dan kemahiran hidup bagi mempersiapkan anak-anak ini dalam kehidupan yang mencabar,” kata Norlida.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:13 PM