PEMILIK baharu diberikan sijil penghargaan pemilikan kucing terbiar.
PEMILIK baharu diberikan sijil penghargaan pemilikan kucing terbiar.
Zaitie Satibi


PROGRAM Kucing Angkat sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan. Sebanyak 23 kucing terbiar berada di bawah jagaan individu yang berminat.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti setempat dan menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

Selain itu, program ini juga antara langkah proaktif bagi mengawal peningkatan populasi anjing dan kucing terbiar di kawasan pentadbiran MBSA.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kucing yang terbabit dalam program berkenaan ditangkap MBSA di kawasan seperti pasar dan gerai.

ORANG ramai memilih kucing untuk dijadikan haiwan peliharaan.
ORANG ramai memilih kucing untuk dijadikan haiwan peliharaan.

“Sebelum diserahkan kepada individu yang berminat, kucing ini dibersihkan, divaksin dan diberi pemeriksaan kesihatan.

“Setiap kucing diambil daripada MBSA dikenakan bayaran RM20 dan maksimum dua ekor bagi seorang pemilik,” katanya.

Katanya, MBSA turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia bagi menjayakan program berkenaan.

Antara pengisian aktiviti program ini adalah seminar, pameran statik dan gerai jualan. Malah, ia turut menerima tajaan beberapa syarikat pengeluaran makanan haiwan dan klinik rawatan haiwan yang menyokong program sebegini dilaksanakan.

ANTARA kucing yang mendapat perhatian pengunjung.
ANTARA kucing yang mendapat perhatian pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 1:30 PM