WANITA turut memainkan alat muzik bagi mengiringi tarian.
WANITA turut memainkan alat muzik bagi mengiringi tarian.
Hafiz Ithnin

Aktiviti harian penduduk di kawasan pedalaman sememangnya mempengaruhi rangkuman kepercayaan, adat dan kesenian yang sudah diwarisi dari generasi terdahulu.

Mereka adalah Orang Asli yang sudah mendiami negara ini sejak berabad lamanya. Keunikan masyarakatnya tidak pernah diketepikan bangsa lain di negara ini. Malah, sentiasa diangkat dan menjadi kebanggaan negara untuk ditonjolkan kepada masyarakat asing.

Kini, peluang melihat sendiri keunikan masyarakat itu tidak sukar lagi kerana sudah diwujudkan sebuah perkampungan Orang Asli.

Ia dikhaskan untuk dilawati pelancong bagi memahami kepercayaan, adat, budaya dan kesenian milik masyarakat Orang Asli itu.

Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey, Selangor memberi peluang kepada penulis untuk melihat lebih dekat kehidupan masyarakat Orang Asli dari suku Mah Meri yang begitu unik.

Mah Meri antara suku yang agak popular dalam kalangan pelancong kerana kehalusan seni budayanya.

Seni ukiran kayu anak kera yang bergayut pada ibunya pernah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebaik saja tiba di perkampungan itu, tarian selamat datang tanda mengalu-aluan pelancong dipersembahkan yang dikenali sebagai Mayin Jo’oh.

Mengikut kepercayaan mereka, tarian itu bertujuan menjemput roh nenek moyang untuk datang menyertai keraian diadakan.

Di dalam tarian berkenaan, dua lelaki memakai topeng dikenali sebagai Tok Pongkola dan Tok Nania turut menari dengan penari wanita memakai pakaian khas diperbuat daripada pelbagai sumber alam semula jadi.

BUSANA unik dan menarik Orang Asli Mah Meri.
BUSANA unik dan menarik Orang Asli Mah Meri.

Alat muzik yang dimainkan juga unik kerana mereka menggunakan peralatan tuntog (buluh), jule (viola), tambo (gendang dua muka) dan a-tawa (gong tembaga).

Usai ‘temasya’ itu, penulis dibawa masuk ke dalam ruang khas yang mempamerkan pelbagai koleksi kaum mereka. Lebih unik terdapat rumah tradisional yang diperbuat daripada sumber alam semula jadi dibangunkan untuk dilihat dan dirasai pelancong.

Penduduk setempat yang terdiri daripada kaum Mah Meri juga cukup peramah dan memberikan kerjasama ketika diminta beraksi di hadapan kamera.

Di bahagian belakang bangunan yang menempatkan maklumat dan koleksi Mah Meri pula, terdapat sebuah pondok untuk kaum lelaki menunjukkan bakat kesenian mereka mengukir pelbagai arca yang mempunyai maksud tersendiri.

 LELAKI mempunyai kemahiran tinggi dalam ukiran.
LELAKI mempunyai kemahiran tinggi dalam ukiran.

Kehalusan seni ukiran kayu keras dari kayu balak yang dipotong menzahirkan pelbagai arca unik. Tidak hairanlah jika hasil karya mereka berjaya diangkat hingga ke peringkat antarabangsa.

Juru ukir yang berada di pondok itu juga sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan berkenaan maksud arca dihasilkan antaranya masyarakat setempat mempercayainya bagi tujuan perubatan. Malah, arca dihasilkan juga dijual kepada tetamu sekiranya ada yang ingin membelinya.

Ternyata bertandang ke Perkampungan Budaya Mah Meri sungguh menarik dan berbaloi. Bukan sekadar memberi maklumat secara terperinci kepada pelancong menerusi papan maklumat disediakan, malah tetamu juga dapat melihat keunikan tarian, kediaman dan hasil seni masyarakatnya.

Bagi mereka yang ingin melawat perkampungan budaya itu, bayaran tertentu dikenakan dan tempahan secara berkumpulan sangat digalakkan. Masyarakatnya pula menyediakan pakej persembahan dan aktiviti dikehendaki pengunjung.

HASIL patung yang mempunyai maksud tersendiri.
HASIL patung yang mempunyai maksud tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:19 PM