TURUT bermain bunga api bagi memeriahkan aktiviti memasang lampu panjut.
TURUT bermain bunga api bagi memeriahkan aktiviti memasang lampu panjut.
Fazurawati Che Lah

Tradisi memasang panjut menjadi amalan biasa di kampung pada malam menjelang hari raya.

Biasanya menjelang 10 malam likur atau 10 Ramadan terakhir, panjut dilihat menerangi setiap kediaman bertujuan menambahkan kemeriahan sambutan Aidilfitri.

Jika dulu, kita terpaksa ke dalam hutan mencari buluh untuk membuat panjut, tapi kini inovasinya diganti lampu panjut moden.

Nyata persiapan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri tetap terasa dengan nyalaan lampu panjut moden itu.

Bagi merasai keseronokan itu, sekumpulan penuntut dari Inapan Siswa Yayasan Albukhary (YAB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah berusaha mewujudkan keceriaan di kolej kediaman mereka dengan limpahan lampu panjut.

Pengetuanya, Sharima Ruwaida Abbas berkata, amalan membuat dan memasang lampu panjut di universiti awam (UA) itu memasuki tahun kedua.

Katanya, idea itu tercetus apabila mendapati tradisi memasang lampu panjut kian dilupakan dan bagi mengimbau kembali kenangan menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

BEKERJASAMA mencari buluh di dalam hutan Sintok.
BEKERJASAMA mencari buluh di dalam hutan Sintok.

“Melalui aktiviti itu juga, ia secara tidak langsung mendedahkan penuntut dengan pengalaman bekerjasama dalam satu kumpulan.

“Pada masa sama, mereka dapat menikmati suasana tradisi di kampung biarpun berada di kampus,” katanya.

Bermula dengan perancangan, proses mencari buluh di hutan hingga pemasangan lampu panjut di kolej kediaman itu, ia nyata pengalaman menarik buat kumpulan penuntut terbabit.

Sharima berkata, kerja mencari buluh diketuai mahasiswa Orang Asli kerana mempunyai kemahiran mengenal pasti buluh sesuai dijadikan panjut.

“Kami bersama-sama mencari buluh di dalam hutan Sintok sekitar UUM dan mengambil masa hampir tiga jam membawa keluar 20 batang buluh.

“Dua hari diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan projek lampu panjut dalam bentuk UUM.

“Kami puas dan bangga kerana dapat mengembalikan amalan tradisi ini menjelang Aidilfitri,” katanya.

GEMBIRA selepas menemui buluh yang sesuai.
GEMBIRA selepas menemui buluh yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:58 PM