Fazurawati Che Lah

Kewujudan media sosial menjadi platform kepada pahlawan papan kekunci atau ‘keyboard warrior’ melemparkan kritikan dan tohmahan negatif.

Jika dibiarkan berleluasa, ia boleh mengancam kestabilan negara, keselamatan masyarakat dan perpaduan kaum.

Tidak terkecuali, institusi pengajian tinggi (IPT) turut menerima tempias itu. Walaupun kesnya terpencil, ia boleh menggugat kredibiliti institusi berkenaan hingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Bermakna, peranan pemimpin di IPT sangat diperlukan untuk mempertahankan institusi pengajian daripada serangan berita palsu.

Pemimpin kelab dan persatuan mahasiswa perlu berada di barisan hadapan mempertahankan universiti daripada serangan maklumat negatif yang di sebarkan pihak tertentu di media sosial.

Oleh itu, mahasiswa dan pemimpin atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlu sentiasa bersedia membantu IPT atau universiti menyalurkan maklumat positif dan benar dalam usaha membasmi penularan berita palsu yang dibuat pihak tertentu.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor berkata, pemimpin kelab dan persatuan seharusnya menjadi teladan atau model contoh kepada mahasiswa lain.

Katanya, mereka perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan tertinggi universiti dalam sesuatu isu seperti dekan, pendaftar, timbalan naib canselor, naib canselor atau daripada mana-mana pihak yang terbabit dengan isu negatif yang disebarkan itu.

PEMIMPIN pelajar perlu berani dan melontarkan berita yang benar.
PEMIMPIN pelajar perlu berani dan melontarkan berita yang benar.

“Mereka perlu mendapatkan info dan fakta yang sebenar berkenaan berita yang disebarkan sama ada ia benar atau palsu.

“Seandainya terbukti palsu, pemimpin kelab dan persatuan ini mesti mencari jalan untuk menyatakan perkara yang sebenar melalui penggunaan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, emel dan sebagainya.

“Tindakan segera perlu diambil supaya berita negatif ini tidak mengelirukan masyarakat di luar kampus,” katanya.

Katanya mereka juga perlu mengambil peluang menerangkan perkara yang sebenar kepada semua ahli kelab dan persatuan khususnya selain semua warga kampus umumnya.

Pemimpin siswa itu adalah benteng kepada IPT kerana mereka ialah kumpulan mahasiswa yang terpilih untuk memimpin kelab dan persatuan.

“Mereka kumpulan mahasiswa yang menjadi penyokong dan pendokong kuat kepada universiti. Bila ada berita negatif yang diterima, mereka jangan terburu-buru mempercayainya.

“Sebagai tulang belakang universiti yang mewakili semua mahasiswa, pemimpin kelab dan persatuan seharusnya mengambil langkah bijak dengan mendapatkan penjelasan dari pihak yang dikaitkan dengan berita negatif itu.

“Ini yang dikatakan kepemimpinan melalui teladan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Rekreasi Campus Lifestyle Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) Mohd Zulkifli Md Salleh, berkata pemimpin kelab atau persatuan perlu menganjurkan program pencerahan berkaitan isu sensitif membabitkan IPT.

Katanya, setiap pemimpin siswa diingatkan sentiasa mematuhi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).

AUKU 1971 tidak membenarkan siswa mengambil kesempatan menyebarkan berita negatif melalui universiti atau penggunaan harta benda bagi tujuan itu.

BERHATI-HATI dengan berita atau maklumat dari media sosial.
BERHATI-HATI dengan berita atau maklumat dari media sosial.

“Melalui AUKU 1971, siswa boleh didakwa sekiranya terdapat bukti dan saksi berkaitan penyebaran isu negatif kepada universiti.

“Merit atau sistem Graduate Higher Order Critical Skills (GHOCS) iaitu satu program atau sistem untuk mengiktiraf pencapaian dan usaha mahasiswa dibatalkan sekiranya terdapat bukti pembabitan secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Katanya, seharusnya pemimpin siswa menjadi mata dan telinga kepada pihak pengurusan universiti serta memantau aktiviti berkumpulan yang mencurigakan.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Aida Fitri Peli, berkata pemimpin kelab atau persatuan wajib dalam menangkis berita palsu yang dituju kepada pihak universiti.

Katanya, sebagai seorang yang berpengaruh terhadap ahli persatuan masing-masing, mereka perlu menyemai nilai integriti dan tegas dalam menolak sebarang berita palsu kerana maklumat seperti itu berpotensi dalam mengganggu gugat prestasi ahli persatuan kerana sifat keraguan terhadap sesuatu perkara.

“Oleh itu, pemimpin mahasiswa seharusnya mengkaji sesuatu berita yang diterima dengan sumber yang sahih dan boleh dipercayai terlebih dulu sebelum disebarkan ke ahli persatuan.

“Pemimpin juga perlu memberikan penjelasan berita yang benar sebagai pencerahan ahli persatuan terhadap sesuatu isu dengan konsisten,” katanya.

SERTAI aktiviti bermanfaat ketika bergelar mahasiswa.
SERTAI aktiviti bermanfaat ketika bergelar mahasiswa.

Katanya, pertemuan juga perlu diadakan sekiranya berita itu memerlukan penjelasan yang kompleks atau perbincangan mendalam.

“Namun dalam era teknologi ini, pemimpin persatuan boleh menggunakan kaedah yang sedia ada seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram. Mereka boleh membuat kenyataan rasmi berkenaan penjelasan terhadap sesuatu isu berita palsu kepada ahli persatuannya.

“Mereka juga boleh membuat video pendek yang berdurasi satu hingga tiga minit untuk memberikan penjelasan kepada ahli persatuan masing-masing di media rasmi persatuan mereka di mana perlu meletakkan simbol rasmi seperti logo persatuan di dalam video itu supaya tidak boleh diputar belit pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pemimpin siswa juga mungkin boleh bekerjasama dengan agensi tertentu bagi mendapatkan pencerahan berhubung kesahihan berita.

Katanya, kerjasama boleh dilaksanakan dengan agensi yang berkait rapat dengan isu berita palsu contohnya pihak Integriti Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan pandangan, nasihat dan pencerahan berkenaan berita palsu dengan lebih lanjut dan tindakan yang boleh diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:09 PM