MD Amin (tengah) bermesra dengan keluarga graduan.
MD Amin (tengah) bermesra dengan keluarga graduan.
HM Digital

Graduan yang menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-19 baru-baru ini diraikan pihak fakulti untuk berkongsi kegembiraan atas kejayaan yang dicapai mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Md Amin Md Taff turut meluangkan masa turun padang meraikan mereka dalam beberapa majlis anjuran fakulti sejurus menerima ijazah masing-masing.

Beliau yang turut menghadiri majlis Tahniah Graduan anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) di Dekan Kuliah Pusat, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City mengucapkan tahniah kepada graduan fakulti berkenaan.

Dr Md Amin berkata universiti berbangga dengan pelajar yang gigih dan berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

“Saya berkongsi kegembiraan bersama keluarga anda yang selama ini banyak berkorban demi melihat anda berjaya menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Namun, katanya, graduan perlu sentiasa mengenang segala jasa ibu bapa selain tidak melupakan jasa pensyarah dan universiti sebagai tempat menimba ilmu.

Dr Md Aminn berkata, UPSI menerusi Pusat Alumni pimpinan Dr Izwan Shahril merancang pelbagai program dan kaedah yang bermanfaat untuk alumni UPSI.

Pusat Alumni, katanya, dalam proses menyediakan Kad Alumni yang memberi peluang kepada alumni menikmati pelbagai kemudahan selain menawarkan kemudahan potongan gaji untuk disumbangkan kepada universiti.

“Penambahbaikan akan ditingkatkan supaya alumni mendapat pelbagai faedah dengan memiliki Kad Alumni nanti apabila pelaksanaannya bermula,” katanya.

“Sebagai alumni, saya berharap graduan akan kembali menyumbang kepada universiti apabila memperoleh pekerjaan sebagai tanda ingatan, kasih sayang dan menyokong pembangunan universiti,” katanya.

Beliau turut menyarankan graduan kembali melanjutkan pengajian di UPSI hingga ke peringkat tertinggi memandangkan universiti itu satu-satunya universiti pendidikan terulung negara ini.

Seramai 5,182 graduan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung dalam enam sesi di Dewan Tuanku Canselor UPSI.

Daripada jumlah itu, 101 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,260), ijazah sarjana muda (2,785) dan diploma (1,036).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 3:23 PM