Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Oktober diangkat sebagai Minggu Kesedaran Pendermaan Organ demi memberi peluang kedua kepada yang memerlukan khususnya kepada individu dalam ‘senarai menunggu’.

Laporan sehingga 31 Ogos lalu menunjukkan, lebih 21,000 pesakit berada dalam senarai menunggu organ dengan majoritinya pesakit kegagalan buah pinggang selain hati, jantung dan paru-paru.

Sebagai bukti bahawa universiti bukanlah hanya gedung eksklusif yang membincangkan hal ehwal akademik semata-mata, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) Kolej Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Muhammad Hazem Che Hashim meneruskan kesinambungan mengangkat isu derma organ sebagai agenda penting untuk tahun kedua selepas kejayaan pelaksanaannya pada tahun lalu.

Sempena program itu, berlangsung pelbagai acara pada 5 hingga 7 Oktober lalu di Kolej Perwira UTHM dengan program bacaan Yasin dan solat hajat, ceramah kesedaran derma organ, bicara Inspirasi Kasih bersama waris penerima dan penderma organ, pertandingan mewarna dan acara ditutup dengan Larian Ikrar Derma Organ (LIDO 2017).

KESUNGGUHAN peserta LIDO 2017 menamatkan larian 7km melalui trek penuh hijau dengan persekitaran kampung.
KESUNGGUHAN peserta LIDO 2017 menamatkan larian 7km melalui trek penuh hijau dengan persekitaran kampung.

LIDO 2017 berjaya menghimpunkan 628 peserta dari seluruh negara dan lebih menarik, ia turut disertai beberapa peserta antarabangsa menerusi larian sejauh 7 kilometer di persekitaran hijau kawasan kampung di Parit Raja.

Menerusi larian ini, sejumlah RM666 berjaya dikumpul dan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Pesakit Hemodialisis Darul Takwa Batu Pahat.

Sumbangan ini disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr Asri Selamat bersama Pengetua Kolej Perwira UTHM, Dr Mohd Noor Abdullah kepada Pengerusinya, Hasan Habidin Timin.

Mengulas lanjut, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) UTHM, Profesor Madya Dr Afandi Ahmad berkata, kesungguhan mahasiswa membawa agenda derma organ ini adalah luar biasa.

Beliau berkata, usaha ini wajar diberikan kredit kerana pemilihan isu derma organ adalah suatu tindakan yang strategik memandangkan bilangan penderma sebenar selepas kematian di Malaysia jauh lebih kecil iaitu hanya 620 walaupun program perdermaan dimulakan sejak pada 1975.

DR Afandi bersama pemenang LIDO 2017.
DR Afandi bersama pemenang LIDO 2017.

“Menerusi aktiviti seperti ini siswa bukan saja berpeluang menyelami isu sebenar masyarakat, tetapi berupaya melatih diri mereka dalam aspek kemahiran penyelesaian masalah kompleks serta memperkukuhkan lagi kemahiran insaniah (KI) dalam diri mereka.

“Ini juga selari dalam usaha melahirkan graduan holistik dan seimbang seperti yang dinyatakan menerusi lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi).

“Menjadi harapan supaya kejayaan penganjuran LIDO 2017 berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam diri penuntut khususnya serta masyarakat amnya.

“Pada masa sama melihat derma organ bukan lagi perkara yang menakutkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 2:12 PM