AHLI PUSPANITA Daerah Kubang Pasu merakamkan kenangan bersama pegawai AADK dan OKP.
AHLI PUSPANITA Daerah Kubang Pasu merakamkan kenangan bersama pegawai AADK dan OKP.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Lazimnya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) aktif mendekati golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas di rumah perlindungan.

Berbeza dengan PUSPANITA Daerah Kubang Pasu, mereka memilih mendekati 36 bekas penagih dadah dalam Program Ramah Mesra PUSPANITA Daerah Kubang Pasu Bersama orang kena pengawasan (OKP) di Pejabat Penghulu Sungai Laka, Changlun, Kedah, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusinya Sharhida Nasuha Mohd Saad berkata, program ini bukan saja memberi pendedahan kepada ahli persatuan tetapi juga sokongan kepada bekas penagih.

“Ada kalangan mereka baru berumur 17 tahun tetapi sudah terjebak dengan najis dadah dan kehadiran kami sedikit sebanyak memberi pengharapan kepada mereka untuk berubah kerana masyarakat masih menerima mereka.

“Sia-sia pelbagai projek pembangunan yang dibuat di daerah ini tetapi manfaat dan peluang pekerjaan dinikmati warga asing sedangkan belia tempatan hanyut dengan gejala sosial ini,” kata beliau yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Kubang Pasu.

Dalam program sehari itu, ahli PUSPANITA berinteraksi dengan OKP dalam kumpulan kecil.

Interaksi dua hala ini membuatkan OKP selesa berkongsi dan meluahkan perasan mereka seolah-olah sebelum ini tidak berpeluang berbuat demikian.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu Mohd Zaki Ablah, terdapat 819 OKP di seluruh daerah Kubang Pasu.

“OKP ialah bekas penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan tetapi perlu berada dalam pengawasan AADK pula selama 24 hingga 36 bulan di bawah Seksyen 6(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Setiap bulan mereka wajib hadir ke perjumpaan ini dan kegagalan menghadirinya menyebabkan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang,” jelas Mohd Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 10:37 AM