Shahrizat berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, semalam.
Shahrizat berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, semalam.

Kuala Lumpur: Pergerakan Wanita UMNO menggesa kepemimpinan parti dan Barisan Nasional (BN) supaya menimbangkan polisi sekurang-kurangnya 30 peratus calon adalah daripada kalangan wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal itu berdasarkan trend memperkasakan pembabitan wanita yang berlaku di seluruh dunia seperti di Filipina yang menyediakan kuota terutama pada pilihan raya dan terbaru Kanada yang membariskan 50 peratus ahli Kabinetnya terdiri daripada wanita.

Beliau berkata, pada Sidang Kemuncak ASEAN 2015, baru-baru ini, isu wanita diberi perhatian, antaranya pembabitan dalam bidang membuat keputusan sama ada dalam politik atau korporat yang masih rendah.

“Saya bimbang jika pembabitan wanita masih kurang dalam kedua-dua bidang ini (politik dan korporat), tidak mustahil suara dan perjuangan wanita dinafikan haknya dalam pembangunan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Dalam ucapan bertajuk, Wanita Tonggak Penyatu UMNO, Shahrizat berkata, selaku tulang belakang kepada kekuatan parti, wanita mesti menerima cabaran dan mendakap perubahan yang hadir bersama kemajuan teknologi.

Katanya, wanita mewakili 53.6 peratus tenaga kerja Malaysia dengan peningkatan 1.2 peratus tahun lalu dan sumbangan itu amat signifikan dalam menjana ekonomi negara, namun landskap kehidupan berubah memaksa mereka mengambil pendekatan berbeza dalam menangani pelbagai isu dan kekangan masa kini.

“Adakalanya wanita terpaksa membuat keputusan memilih antara keluarga atau kerjaya yang akhirnya secara tidak langsung memberi impak terhadap ekonomi negara,” katanya.

Shahrizat berkata, adat resam parti politik, UMNO juga tidak terkecuali berdepan cabaran dan sering diuji kesetiaannya seperti pengunduran pengasasnya, pengharaman parti dan peletakan jawatan serta pemecatan pemimpin tertinggi.

Begitupun, katanya, UMNO matang dengan jiwa besar, penuh dengan pengalaman yang mendewasakan.

“Kita ikut tradisi. Kita sokong Presiden kita. Kita sokong pemimpin kita. Maka, pada akhirnya kita mampu keluar daripada kemelut dan krisis dengan mencapai kejayaan membanggakan.

“Kita mesti memberi kekuatan kepada Presiden supaya pembangkang di luar atau dalam parti tidak dapat melemahkan Presiden kita,” katanya sambil menambah sayap parti itu komited menyokong Datuk Seri Najib Razak selaku pemimpin nombor satu parti dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:49 AM