OSAKA kota ketiga popular di Jepun.
OSAKA kota ketiga popular di Jepun.
UMAR, Shafiq, Firdaus, Imran, Hafizuddin dan Khairul Nizam bergambar di Menara Umeda, berlatarkan bandar Osaka.
UMAR, Shafiq, Firdaus, Imran, Hafizuddin dan Khairul Nizam bergambar di Menara Umeda, berlatarkan bandar Osaka.
BERSEDIA untuk dibaham oleh The Smiling Titan.
BERSEDIA untuk dibaham oleh The Smiling Titan.
OSAKA Castle menyimpan sejarah silam Jepun.
OSAKA Castle menyimpan sejarah silam Jepun.
KOTA Harry Potter yang kini menjadi daya tarikan pelancong.
KOTA Harry Potter yang kini menjadi daya tarikan pelancong.
Oleh Rodly Fadly


Saban tahun Jepun menjadi tumpuan jutaan pelancong seluruh dunia. Industri pelancongan antara sumber ekonomi negara matahari terbit itu, yang termasuk bandar raya Osaka di wilayah Kansai.

Kota ketiga selepas Tokyo dan Yokohama itu menarik kerana menggabungkan legasi sejarah dan kemodenan untuk memikat pelancong.

Kota yang pada awal sejarah Jepun dikenali sebagai Naniwa pernah menjadi ibu negara itu pada abad ke-16 sebelum Tokugawa Ieyasu memindahkan pentadbiran ke Edo atau sekarang dikenali sebagai Tokyo.

Namun, daya tarikan utama yang menggamit ramai pelancong ke Osaka sekarang ialah kewujudan taman tema Universal Studios sejak 2001. Ia memberi dimensi baru kepada pelancongan di kota itu yang sebelum itu lebih banyak bergantung pada beberapa warisan sejarah.

Malah, kehadiran Harry Potter, ikon yang menjadi kegilaan ke taman tema itu sejak lebih setahun lalu menambah keterujaan pelancong untuk menjadikan Osaka sebagai destinasi wajib bila melancong ke negara berkenaan.

Sejak The Wizarding World of Harry Potter dibuka pada Julai 2014, Universal Studios di Osaka sentiasa padat dengan pengunjung tempatan dan pelancong asing. Penggemar filem budak ajaib itu tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri suasana di kota sihir berkenaan. Magis Harry Potter menjadikan Osaka lebih pusat pelancongan utama mengatasi populariti yang selama ini didominasi Tokyo Disneyland.

Antara pengunjung sungguh teruja memasuki kota Hogsmeade dan mengembara bersama Harry Potter ialah Ahmad Hafizuddin Ramle.

Bagi anak muda dari Kuala Lumpur ini, kunjungan ke Jepun itu berbaloi terutama apabila dapat memenuhi impiannya menjengah kota kelahiran Harry Potter. Beliau ke sana bersama abangnya, Khairul Nizam dan rakan, Umar Farouq, Imran Arifin, Mohd Syafiq dan Mohd Firdaus.

Oleh kerana The Wizarding World of Harry Potter berada dalam senarai nombor satu, mereka mengambil penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Osaka.

Menurut Hafizuddin, hasrat utamanya ke Jepun adalah untuk merasai pengalaman berada di dalam taman tema Harry Potter. Selama ini, kota Hogsmeade hanya ditonton di layar perak tapi sebaik berada di depan mata, sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

“Sewaktu saya meneroka di dalamnya seolah-olah saya turut berlakon di dalam filem Harry Potter. Ia sesuatu yang menakjubkan. Hari pertama di Osaka, seawal jam 8 pagi kami sudah berada di depan Universal Studios dan menjadi antara pengunjung terawal.

“Sebaik melepasi pintu masuk, sudah tentu tempat utama yang kami cari ialah taman tema Harry Potter,” katanya.

Perjalanan ke The Wizarding World of Harry Potter melewati hutan buatan disambut Flying Ford Anglia berwarna biru muda. Bagi yang menonton Harry Potter tentu mengetahui kereta yang diubah suai oleh Arthur Weasley itu supaya boleh terbang dan ghaib.

Rombongan Hafizuddin kemudiannya melalui kedai-kedai Hogsmeade yang menjual pelbagai barangan yang berkait rapat dengan Harry Potter seperti kedai Honey­dukes yang menjual gula-gula, The Owl Post yang menjual setem bercop Hogwarts juga kedai minuman Butterbeer, yang ternyata bukan minuman beralkohol tapi rutbir dengan buih karamel di atasnya.

Agak menarik apabila melewati Ollivander Wand Shop, mereka disambut orang yang menyerupai Ollivander menawarkan pelbagai tongkat sihir milik Harry Potter atau milik watak terkenal dalam filem itu seperti Ron Weasley, Hermione, Professor Snape, Professor McGonagal, Professor Dumbledore dan Voldemort.

Sekiranya mahu membeli jubah seperti yang dipakai oleh murid Hogwarts pula, pengunjung boleh singgah di Zonko’s Shop yang menjual jubah Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw dan Slytherin.

“Selepas melewati kedai-kedai ini, akhirnya kami sampai ke gerbang The Wizarding World of Harry Potter. Sebenarnya di sini baru bermula pengembaraan ke dunia Harry Potter apabila kami dibawa mengembara bersama Harry Potter melalui Harry Potter and the Forbidden Journey.

“Harry Potter and the Forbidden Journey adalah taya­ngan 4D yang ditonton dari kerusi yang berjalan di rel. Sepanjang tayangan filem tersebut, kami terasa seolah-olah turut terbang bersama Harry Potter dan rakan-rakannya dengan menaiki penyapu terbang, “ katanya.

Sepanjang pengembaraan itu, mereka berjumpa Whomping Willow dan Dementor yang menebarkan aura kegelapan. Apa yang boleh dikatakan, sepanjang filem itu ditayangkan, Hafizuddin berasa seolah-olah sangat dekat dengan hero pujaannya itu membanteras kejahatan.

Menurut Hafizuddin, mereka juga menerokai segenap penjuru kota itu yang dipenuhi dengan ruang ikonik khas Harry Potter, seperti Dumbledore’s Office, The Defence Against The Dark Arts Classroom, Gryffindor Common Room dan The Room of Requirement.

Bagi Hafizuddin, walaupun mereka juga memasuki taman tema Jaws, The Amazing Adventure Of Spider-Man, Back To The Future, Terminator dan lain-lain, pengalaman di The Wizarding World of Harry Potter adalah yang paling menyeronokkan.

Selain itu, Hafizuddin dan rakan-rakannya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi anime yang kini sedang menggegar dunia, Shingeki No Kyojin atau lebih dikenali dengan nama Attack On Titan.

Di situ terdapat tugu berkembar yang menggambarkan pertarungan di antara teraju utama anime itu, Eren Yeager dan titan wanita, Annie Leonhart. Tugu setinggi 15 meter dan 14 meter itu menjadi daya tarikan untuk pelancong yang beraksi dan merakamkan gambar di depannya.

Mereka juga berpeluang bergambar bersama The Smiling Titan dengan melakukan aksi seolah-olah akan dibaham titan itu.

Hari kedua di Osaka, Hafizuddin dan rakan-rakannya mengunjungi Osaka Castle, salah satu tinggalan sejarah yang menyimpan pelbagai kisah di sebaliknya. Sebenarnya, sebelum wujudnya Universal Studios, Osaka Castle adalah tarikan utama pelancong.

Ia boleh dikategorikan sebagai muzium yang menceritakan perjalanan hidup Toyotomi Hideyoshi, orang yang bertanggungjawab membina Osaka Castle itu. Meskipun menara Osaka Castle yang ada sekarang bukan asli selepas ia musnah dalam kebakaran pada 1615 akibat diserang tentera Tokugawa, ia tetap dianggap sebagai bangunan bersejarah bagi pendudukan bandar itu.

Apatah lagi pembinaan semula Osaka Castle yang memakan masa daripada 1931 hingga 1997, juga melibatkan dana yang disumbangkan oleh rakyat. Justeru tidak hairanlah jika mereka begitu bangga dengan kewujudan kota itu.

Begitupun ada lebih kurang 13 bangunan di dalam kota itu yang merupakan bangunan asli, terutama Kinmeisui dan Kinzo Storehouse yang dulu digunakan sebagai tempat menyimpan emas dan perak.

Beberapa tembok yang mengeliling kota itu pun binaan asli, antaranya Taikoshi Stone yang mana struktur pembinaannya sepanjang 60 meter persegi dengan ketebalan batu 90sm dan berat 130 tan.

“Memang menarik dan kagum melihat seni bina dan keutuhan tembok-tembok ini. Bayangkan, pada zaman yang serba kekurangan dari segi peralatan, mereka boleh bina tembok sekukuh ini.

“Apa yang lebih menarik ialah di tingkat tujuh menara ini, dipertontonkan drama sejarah Toyotomi Hideyoshi yang ditayangkan dalam bentuk layar televisyen bersambung. Jadi, untuk melihat daripada satu babak ke satu babak, kita mesti berpindah dari satu layar ke satu layar.

“Walaupun kisah sejarah, ceritanya menarik, disampaikan secara ringan dan diselitkan dengan unsur humor. Dengan mengikuti drama tersebut, anda akan lebih memahami mengenai Osaka Castle secara keseluruhannya.

“Bila kami menjejakkan kaki di tingkat lapan pula, yang tingginya 50 meter dari tanah, kami dapat lihat keseluruhan kompleks Osaka Castle, bandar Osaka, pusat beli-belah di sekelilingnya, gunung-ganang dan bukit-bukau,” kata Hafizuddin.

Hafizuddin dan rakan-rakannya juga tidak melepaskan peluang menaiki menara Umeda atau dikenali sebagai Umeda Sky Building di mana dari tingkat 39, mereka dapat menikmati panorama seluruh Osaka.

“Untuk menikmati Osaka, kami dibawa ke ‘taman gantung’ atau dikenali dengan Floating Garden Observatory di tingkat 39. Untuk ke taman itu, kami perlu menggunakan lif untuk ke tingkat 35. Dari dalam lif berkaca itu kami sudah dapat lihat bandar Osaka.

“Kemudian dari tingkat 35, kami perlu ke tingkat 39 untuk memasuki ‘taman gantung’ itu. Kali ini, kami tidak menggunakan lif, sebaliknya menaiki eskalator berkaca yang ‘melayang’ dari bangunan pertama ke bangunan kedua.

“Menggunakan eskalator ini seolah-olah kita berjalan di langit kerana tidak ada penompang di bawahnya. Bayangkan, ketika itu kita berada pada ketinggian lebih 160 meter dari bumi. Bagi yang tidak biasa dengan tempat tinggi pasti gayat.

“Tiba di tingkat 39, kami dibawa masuk ke dalam taman yang hanya berbumbungkan langit. Dari situ, kami dapat menikmati kecanggihan dan keindahan bandar Osaka,” ujar Hafizuddin.

Hari ketiga di Osaka, Hafizuddin dan rakan-rakannya hanya melepak di hotel dan menjamu mata di pusat beli-belah. Ini kerana esoknya mereka akan mengambil penerbangan ke Tokyo pula bagi meneruskan percutian di negara matahari terbit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:01 AM