KEADAAN kampung Bakalau yang mula digenangi air. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kampung Bakalau yang mula digenangi air. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Nazllie Zainul


Beaufort: Penduduk di tiga kampung di daerah ini mula merasai kesan musim tengkujuh apabila hujan lebat sejak malam tadi mengakibatkan kediaman mereka ditenggelami air.

Tiga kampung berkenaan iaitu Bakalau, Balibata dan Binunuk yang terletak di kawasan rendah mula dinaiki air akibat limpahan Sungai Padas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Runzee Abdul Thani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai banjir itu kira-kira 7.30 pagi tadi sebelum menghantar anggota ke lokasi untuk pemantauan.

"Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan dan bomba sudah mengarahkan anggota supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“€œKeadaan cuaca di Beaufort hari ini baik tetapi bomba tetap mengambil langkah persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Runzee menasihati penduduk yang menetap berhampiran Sungai Padas supaya tidak mengabaikan soal keselamatan selain mengambil langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 1:55 PM