Bagi peminat gajet yang mahukan sedikit kecanggihan, anda boleh berkira-kira untuk membeli topeng maya digital Samsung Gear VR yang mengasyikkan.
Selepas memakainya dan membuka beberapa game, anda seolah-olah di awangan dan turut memainkan peranan dalam game terbabit.
Bagi mereka yang masih baru, Gear VR terdiri daripada komponen realiti maya atau ‘virtual reality’ yang diadaptasi ke topeng muka seakan-akan ‘goggle’ besar.
Gear VR pula memerlukan anda mempunyai telefon pintar sekurang-kurangnya Samsung Galaxy S6 atau S6 Edge sebagai platform atau jantung bagi peranti ini.
Penggunaannya mudah, hanya buka penutup di depan dan masukkan Galaxy S6 dalam slot terbabit dan pandangan kaca mata dalam Gear VR akan mengubah landskap dan anda akan 100 peratus berada di alam lain.
Penguji memuat turun game The Avengers dan Spaceship dan ia ternyata memberi kepuasan berlainan jika mahu dimainkan dengan game biasa di telefon.
Cuma, anda masih perlu menggerakkan kepala ke kiri dan kanan atau atas bawah bagi mengoperasikan sesuatu game.
Butang di tepi lebih kepada set memulakan Gear VR dan ia ternyata gempak jika ditambah set fon telinga yang mempunyai slot khas.
Bagi memastikan ketahanan bateri, terdapat slot mikroUSB yang membolehkannya disambung terus bagi operasi berterusan.
Masalah seperti Gear VR atau set lain biasanya memerlukan penggunanya membuka kaca mata dan ia ternyata merimaskan.
Mungkin pada masa depan, pereka boleh menyediakan rekaan yang sesuai bagi pemakai kaca mata seperti penguji.
Dengan menggunakan Galaxy S6/S6 Edge, skrin 5.1 inci dengan resolusi QuadHD memberikan paparan lebih terperinci dengan kepadatan piksel sehingga 577ppi.
Terdapat pelbagai kandungan mutimedia yang boleh dimainkan menggunakan Gear VR. Ia boleh dimuat turun daripada stor aplikasi Oculus. Antara jenis kandungan yang boleh ditonton adalah seperti lawatan maya ke tempat menarik galeri gambar serta video 360 darjah.
INFO
SAMSUNG GEAR VR
- Pengeluar: Samsung
- Harga: RM799
- Laman Web: www.samsung.com.my
- Ciri: Topeng maya VR
- Pro: Harga menarik
- Kontra: Belum cukup game