MOHD Fauzi (dua dari kanan) bersama penyelidik minyak masak Afdhal, Prof Dr Suhaila Mohamed (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak berkenaan.
MOHD Fauzi (dua dari kanan) bersama penyelidik minyak masak Afdhal, Prof Dr Suhaila Mohamed (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak berkenaan.
PENOLONG Pegawai Pertanian UPM, Mohd Rosman Jamaludin menjual anak pokok klon serendah RM10.
PENOLONG Pegawai Pertanian UPM, Mohd Rosman Jamaludin menjual anak pokok klon serendah RM10.
DR NOORASHIMAH Roslim dari Fakulti Perubatan Veterinar memeriksa arnab di klinik bergerak.
DR NOORASHIMAH Roslim dari Fakulti Perubatan Veterinar memeriksa arnab di klinik bergerak.
MOHD Fauzi (tiga dari kanan) melawat tapak pameran.
MOHD Fauzi (tiga dari kanan) melawat tapak pameran.
Oleh Mohamad Hussin


Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-39 bertemakan Mendepani Pertanian, baru-baru ini berjaya menarik minat masyarakat menjadikan sektor itu lebih dinamik.

Selaras dengan tema itu, turut diadakan Klinik Pengembangan Pertanian apabila 12 pakar pertanian UPM sedia membantu orang ramai menerangkan kaedah dan masalah pertanian seperti pertanian bandar, kaedah tanaman secara cantuman, tut, baji dan keratan.

Turut diadakan demonstrasi menanam sayur secara fertigasi dan hidroponik, kaedah pemasuan semula dan pembiakan pokok hiasan, penanaman sayur serta pencegahan perosak.

UPM turut mempamerkan 28 inovasi penyelidikan dalam bidang pertanian. Antara yang menarik ialah minyak masak jenama ‘Afdhal’ daripada ekstrak herba semula jadi yang mengurangkan serapan minyak dalam masakan dan boleh digunakan sehingga 80 kali.

Minyak itu dirumus secara saintifik menggunakan minyak sawit dan herba yang mampu mengurangkan penyerapan minyak dalam makanan bergoreng sehingga 85 peratus dan membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan barah.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dalam ucapan perasmian berkata, ekspo itu juga menawarkan perkhidmatan Klinik Pengembangan Pertanian membabitkan pakar pertanian untuk membantu orang ramai mengenai kaedah dan masalah pertanian.

“Kami menyasarkan 1,000 hingga 1,500 pengunjung ke ekspo ini kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai pertanian dan pihak universiti menyediakan 12 pakar di klinik itu.

“Orang ramai perlu berusaha menggerakkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian bagi meningkatkan produktiviti bekalan makanan, penerokaan pertanian bernilai tinggi, pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengukuhan rantaian makanan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsuddin dan Pengarah Taman Pertanian UPM, Prof Dr Japar Sidik Bujang.

Sementara itu, pengunjung, Hairani Abd Halim, 36, yang bekerja sendiri membeli 30 anak pokok sebagai tambahan koleksi hobinya walaupun kali pertama mengunjungi ekspo pertanian itu.

“Di sini ada pelbagai jenis pokok bunga, sayuran, buah-buahan dan herba memudahkan pengunjung memilih anak pokok diingini.

“Sampai saja di sini, saya terus beli pokok yang saya mahu kerana yakin dengan kualiti anak pokok keluaran UPM dan harganya lebih murah,” katanya.

Ekspo itu turut menawarkan 1,000 jenis anak pokok termasuk klon dengan harga serendah RM10.

Antaranya, anak pokok durian klon D24, D99, D168 dan D197, anak pokok rambutan jenis R191, anak pokok mangga jenis MA 224 Cok Anan, anak pokok nangka jenis J33 dan anak pokok jambu batu jenis GU15 yang mendapat permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:25 AM