GANDINGAN (dari kiri) Siti, Ramli dan Hetty memukau.
GANDINGAN (dari kiri) Siti, Ramli dan Hetty memukau.

Kehadiran saya di Istana Budaya pada Sabtu lalu nyata tidak dapat mencium berita gembira kehamilan Siti. Tidak disangka ketika itu Siti berbadan dua.

Mungkin kerana saya melangkah ke Istana Budaya pada malam itu sebagai penonton yang ingin berhibur mendengar tiga penyanyi hebat ini mengalun suara di pentas hebat.

Gabungan suara merdu Siti, 36, kehebatan vokal Hetty, 58, dan keunikan suara Ramli, 64, membuatkan saya lupa hal yang menjadi perhatian sejak Siti bergelar isteri pada 21 Ogos 2006.

Sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung, saya terpesona dengan alunan suara Siti menyampaikan lagu popularnya, Terbaik Bagimu, Bicara Manis Menghiris Kalbu dan Kesilapanku Keegoanmu kemudian berganding dengan Hetty dan kemuncaknya gandingan tiga suara mereka.

Apabila Siti muncul, kemerduan suaranya tidak perlu dipertikai, apabila Hetty membuka mulut menyampaikan lagu Hadirlah Kasih, bergema jeritan kagum penonton.

Gandingan Siti dan Hetty juga menghiburkan sama ada menyanyikan lagu popular Siti, Bukan Cinta Biasa dan Pastikan atau lagu Hetty, tiada cacat celanya. Begitu juga ­Ramli begitu sporting menyanyikan lagu Siti, Dialah Di Hati.

Lagu penutup daripada penyanyi tiga negara ini menyanyikan lagu Temasya Desa Gemalai membuatkan penonton tidak puas dengan alunan suara mereka.

Masih mengharapkan mereka kembali ke pentas, ter­nyata hampa dan akhirnya penonton perlahan-lahan keluar dewan bersama kenangan manis gandingan tiga nama besar ini.

Kalau ikutkan, Siti baru saja beraksi di Istana Budaya pada 7 April lalu melalui Konsert Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 dan sekali lagi pada 7 November lalu.

Ramli juga menggegarkan Istana Budaya melalui Konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip pada 17 hingga 19 Oktober 2014 bersama penyanyi rock Indonesia, Achmad Albar.

Manakala Hetty sering turun ke Kuala Lumpur memenuhi undangan untuk majlis tertentu seperti sambutan Hari Ibu atau Minggu Setiausaha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:13 AM