Penggunaan pengangkutan awam berkuasa elektrik boleh menjadi penanda aras ke arah negara maju.

Ini kerana ia bukan hanya meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada orang ramai, tetapi pada masa sama dapat mengurangkan pencemaran alam.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Sdn Bhd Zulkifli Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyediakan 15 bas elektrik untuk pengguna di BRT Laluan Sunway.

“Ia melalui tujuh stesen iaitu bermula di Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan berakhir di USJ7.

“Penumpang mudah untuk menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) di USJ7 jika mahu ke ibu kota bagi mengelak kesesakan jalan raya jika menggunakan kereta.

“Dengan mempunyai 23 pemandu, perkhidmatan BRT Laluan Sunway beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12.30 tengah malam yang boleh memuatkan 15,000 penumpang setiap hari,” katanya.

Dalam dua bulan pertama beroperasi pada Jun dan Julai lalu, BRT Laluan Sunway membawa kira-kira 12,000 penumpang setiap hari.

Ia menunjukkan sokongan masyarakat setempat terhadap kenderaan awam elektrik yang menepati masa tiba ke destinasi berbanding kenderaan lain yang perlu bergelut dengan kesesakan jalan raya.

“Bagi pengangkutan awam menggunakan diesel, jangka hayatnya hanya 10 tahun tidak termasuk kos penyelenggaraan dan penggunaan bahan api yang tinggi.

“Bas awam elektrik pula mampu menjimatkan kos antara 50 hingga 60 peratus.

“Harga tiket juga berbaloi iaitu RM5.40 dari stesen Sunway-Setia Jaya ke stesen USJ7 kerana masa per­jalanan hanya 16 minit sambil penumpang menikmati perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan,” katanya.

Zulkifli berkata, perkhidmatan BRT akan diperluaskan secara berperingkat bagi laluan Kuala Lumpur-Klang, namun masih dalam perancangan.

Ini kerana ia memerlukan kerjasama dan pembabitan semua konsortium pengangkutan awam yang sudah lama beroperasi di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:40 PM