REKAAN eksklusif oleh Hatta Dolmat untuk koleksi khas bersama SK-II.
REKAAN eksklusif oleh Hatta Dolmat untuk koleksi khas bersama SK-II.
Oleh Basyar Mustapha


Pereka fesyen tempatan, Hatta Dolmat baru-baru ini mempersembahkan koleksi adi busana istimewa rekaannya di pelancaran rangkaian edisi khas jenama SK-II Festive Facial Treatment Essence.

Acara berganda itu diadakan di ruang tengah Suria KLCC yang diubah menjadi replika taman botani yang dinamakan #ChangeDestiny Garden.

Berinspirasikan ­bunga tulip, hydrangea, freesia dan daun cypress hijau yang digunakan pelukis dari Taiwan, Poh Chih Huang untuk rekaan botol koleksi SK-II itu, Hatta menunjukkan daya kreativitinya dalam 10 rekaan gaun termasuk satu gaun pengantin.

Rekaan Hatta untuk kolaborasi kali kedua ini dijang­kakan menjadi refleksi versi haute couture kepada teknik kreativiti mengadaptasi ­bunga yang digunakan Poh untuk membangkitkan aspek kecantikan dan awet muda melalui proses transformasi selari dengan kuasa formula Pitera yang terdapat dalam produk SK-II.

Gaun potongan pendek antara yang menonjol dalam 10 rekaan itu manakala gaun lain seakan-akan sudah ­banyak kali dihasilkan ramai pereka lain sebelum ini dan tidak nampak seperti sesuatu yang baru.

Beberapa rekaan gaun ungu dan merah beropol di bahu serta di bahagian bawah pula nampak cantik, namun mempunyai perincian dan penyampaiannya sedikit lapuk.

Hatta mencuba sesuatu yang unik dalam rekaan gaun pengantin dalam koleksi itu dengan bahagian skirtnya diangkat lebih tinggi daripada kebiasaan iaitu sehingga bawah dada dan skirt beropol gaya whimsical, namun gaun itu menampakkan model seakan-akan 'ditelan' skirt dan tidak sesuai dipakai pe­ngantin perempuan yang tidak berpotongan seperti seorang peragawati.

Menurut Hatta, dia mempunyai keserasian bekerjasama dengan jenama kecantikan berprestij itu yang mementingkan penampilan keseluruhan wanita.

"Saya secara khusuhnya mendapat inspirasi daripada bunga-bungaan dan tema taman bunga diangkat SK-II untuk koleksi khas ini.

"Ia sungguh me­nyegarkan dan memberi rasa positif dengan warna dan tekstur bunga-bungaan itu," kata­nya.

Pengurus Komunikasi ­Jenama SK-II, Shuqi Fu berkata, kempen ­#ChangeDestiny itu me­nyampaikan mesej bahawa setiap orang mempu­nyai kuasa di tangan mereka untuk membuat transformasi masa hadapan sendiri sama ada dalam soal kecantikan kulit mahupun kehidupan secara amnya.

"Sebagai sebuah jenama, kami percaya dalam magis melalui transformasi dan salah satu caranya adalah melalui kolaborasi dalam bidang kecantikan dan seni yang tidak boleh dipisahkan.

"Kami berharap dapat memperkasakan bakat tempatan dengan memberi platform untuk menonjolkan bakat mereka dan mencipta nama dalam bidang sendiri," kata Fu.

Koleksi edisi terhad oleh SK-II ini memperlihatkan empat rekaan botol berseni yang mengambarkan kecantikan sejati.

Setiap bunga dipilih menjadi simbolik kepada pe­ngertian yang cuba disampaikan dalam kempen kali ini melalui rekaan botolnya.

Bunga tulip merah mewakili semangat wanita dalam menggapai kecemerla­ngan dan memperoleh hidup yang penuh bermakna.

Bunga freesia kuning melambangkan sisi elegan dan hydrangea ungu menjadi tanda kasih sayang semula jadi yang penuh dalam jiwa setiap wanita.

Kebijaksanaan yang ada dalam pemikiran seorang lelaki pula disampaikan dalam penggunaan daun cypress hijau.

Hatta juga berkolaborasi dengan SK-II dalam menghasilkan set hantaran istimewa yang boleh didapati di kaunter SK-II.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:00 AM