ROTI nestum ayam sedia dimakan.
ROTI nestum ayam sedia dimakan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Memikat selera anak untuk bersarapan dan minum petang pada hakikatnya bukanlah perkara mudah kerana selain memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, si ibu perlu kreatif mencuba menu baru.

Hidangan sarapan atau minum petang untuk kanak-kanak juga perlulah sesuai, berkhasiat dan sedap bagi memastikan mereka mengambil makanan sihat secara berterusan.

Keenakan hidangan itu juga sedikit sebanyak mampu mengawal supaya si kecil tidak menjadikan makanan segera sebagai makanan kegemaran.

Tidak perlu meluangkan masa sehingga satu jam, penyediaan roti nestum ayam antara menu sesuai dan berkhasiat khusus untuk kanak-kanak.

Hanya mengambil masa kurang 20 minit, guru di sebuah sekolah rendah di Pelabuhan Klang, Selangor, Fadilah Hashim berkongsi resipi mudah menyediakan roti nestum ayam yang lazat serta berkhasiat.

Menurut Fadilah, menggunakan bahan mudah iaitu ayam, lobak merah, lada hitam, bawang merah, bawang putih, telur, nestum, roti serta sedikit minyak, hidangan itu boleh disediakan dengan pantas walaupun buat ibu berkerjaya yang sentiasa sibuk pada waktu pagi.

“Hidangan ini sangat sesuai untuk kanak-kanak kerana ia tidak terlalu pedas dan boleh dijadikan pembuka selera seisi keluarga. Ia juga boleh menjadi bekalan makanan ke sekolah buat si kecil dan orang dewasa.

“Malah roti ini boleh dijadikan menu ketika jamuan hari lahir atau disajikan kepada tetamu yang datang secara tiba-tiba jika anda tidak mempunyai bahan masakan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:52 AM