PENIAGA menyusun  mafla  Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghangatkan  suasa perlawanan akhir Piala AFC.
PENIAGA menyusun mafla Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghangatkan suasa perlawanan akhir Piala AFC.

Johor Bahru: “Pencapaian Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam masa tiga tahun ini membuktikan apabila kita bersatu, ikhlas dan bekerja keras, insya-Allah kejayaan milik kita,” titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda bertitah, Johor DT sudah mengukir sejarah dengan menjadi pasukan pertama negara layak ke suku akhir serta separuh akhir Piala AFC dan kini ke final.

“Muafakat Bangsa Johor. Anda menyokong Johor DT tanpa kenal erti penat dan lelah, manakala pihak pengurusan dan barisan pemain pula mempamerkan jati diri tinggi, bertungkus-lumus menghadapi cabaran dan rintangan. Ini mencerminkan semangat sebenar Johor,” titahnya.

Sultan Ibrahim Iskandar bertitah demikian dalam laman sosial Facebook (FB) dan Instagram rasmi milik baginda yang dimuat naik semalam.

Baginda kini berada di Tajikistan bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC antara Johor DT dengan FC Istiklol malam ini.

Sultan Ibrahim bertitah, kehadiran baginda di Tajikistan adalah sebagai sokongan kepada Johor DT selain memohon rakyat mendoakan yang terbaik untuk kejayaan pasukan berkenaan.

“Johor DT milik rakyat Johor. Berdoalah menurut cara dan kepercayaan masing-masing untuk kemenangan Johor DT. Saya sangat bangga dengan kejayaan ini dan berterima kasih atas sokongan semua.

“Saya berada di Tajikistan untuk memberi sokongan kepada Johor DT. Tahniah kepada semua atas kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:50 AM