Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Skuad Liga Super Perak hanya menunggu kelulusan pengambilan dua awang import bertaraf bintang iaitu seorang dari Jamaica dan seorang lagi Bosnia.

Pengurus pasukan Datuk Azhar Ahmad (gambar) yang enggan mendedahkan identiti pemain itu berkata, mereka adalah pemain kebangsaan negara masing-masing,

“Mereka dikenal pasti jurulatih (Vjeran Simunic),” katanya.

Azhar berkata, kelulusan daripada jawatankuasa tertinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) perlu kerana kos mengambil mereka sangat tinggi.

“Kita akan ikat mereka selepas mendapat lampu hijau,” katanya .

Malah Bendahari PAFA itu berkata, pengambilan pemain itu juga akan dibuat berdasarkan laporan perubatan tanpa perlu menjalani ujian.

“Mereka pemain bintang mana mahu jalani ujian. Jika nak suruh uji, mereka tidak mahu datang langsung,” katanya.

Justeru beliau yakin kedua-dua pemain itu menepati citarasa dan piawaian pasukan kerana dipilih oleh jurulatih sendiri.

“Mereka pilihan Simunic. Sudah tentu dia akan membuat pilihan terbaik buat pasukan,” katanya.

Perak setakat ini sudah mempunyai seorang awang import iaitu Marco Tulio.

Azhar berkata, Perak juga akan melengkapkan kouta import iaitu seorang pemain Asia seperti disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini Perak mengguna khidmat kapten skuad bawah 23 Myanmar, Kyaw Zayar Win, tetapi pemain itu hanya beraksi separuh jalan akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:08 AM