KAMARUL (dua dari kiri) bersama pelakon Tanah iaitu Juhara Ayob dan Mubarak Majid (dua dari kanan).
KAMARUL (dua dari kiri) bersama pelakon Tanah iaitu Juhara Ayob dan Mubarak Majid (dua dari kanan).
 POSTER Tanah.
POSTER Tanah.

Peminat teater patriotik berpeluang menyaksikan sebuah pementasan menarik arahan Kamarul AR berjudul Tanah di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam ini hingga Ahad.

Teater terbitan Majlis Teater Negeri Selangor ini dibawakan oleh Pertubuhan Teater Hidayah dan dibiayai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Juhara Ayob sebagai Manisah, Nazri Ahmad (Mahad), Eliza Mustafa (Rosnah/ Zaleha) serta penampilan istimewa Mubarak Majid dan Salman Al Farisi, Tanah mengutarakan isu maruah dan perjuangan orang Melayu yang bangkit menentang penjajahan Inggeris sebelum kemerdekaan negara.

Kamarul berkata, Tanah sebuah cerita kritikan sosial berkaitan orang Melayu yang perlu bersatu dalam apa juga situasi yang berlaku.

"Cerita ini diambil daripada sejarah penubuhan Malayan Union oleh British yang mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu.

"Bagi mereka gelombang kehidupan dan bahang penjajahan sememangnya menyakitkan. Dek kerana itu, mereka menyahut seruan permuafakatan Rumpun Melayu untuk bersatu ke arah memperjuangkan dan menegakkan masyarakat Melayu yang bermaruah.

"Ketentuan dibuat di mana sistem pemerintahan beraja dan penerapan nilai peradaban bangsa Melayu perlu diunggulkan," katanya.

Menerusi Tanah, beberapa persoalan utama yang dihadapi orang Melayu dibangkitkan antaranya terpaksa berdepan dengan ranjau kerana masih terdapat golongan manusia bersikap seperti duri dalam daging.

"Kumpulan ini tak ramai, tapi ia merosakkan dari dalam. Dek kerana itu, kumpulan gerakan penyatuan orang Melayu ini berhadapan dengan tali barut bangsa yang mungkin sekadar menangguk di air keruh.

"Apapun yang pasti, pertimbangan wajar harus diambil walaupun terpaksa diheret antara kasih pada bangsa dan bencikan petualang durjana.

"Ini juga menyaksikan mereka harus bersatu jiwa dan raga, sekali gus perlu menjaga, apalagi mengumpul kudrat dan kekuatan untuk memelihara hak keistimewaan bangsa di tanah bumi tercinta," katanya.

Tiket untuk menonton teater Tanah berharga RM20 dan RM10 untuk pelajar.

Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket boleh menerusi Pyan di talian 019 3087044 atau 012 6334315.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:01 AM