ANTARA babak menarik filem ini.
ANTARA babak menarik filem ini.
Oleh Michelle Gun


Peminat filem di utara tanah air khususnya Kedah berpeluang menonton filem terbaru The Last Witch Hunter secara percuma di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), dekat pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, jam 8.30 malam esok sempena pembukaan pawagam baru itu.

Tiket percuma itu boleh dituntut dengan membawa keratan akhbar ini ke GSC Aman Central mulai jam 4 petang esok di kaunter khas yang disediakan.

Setiap keratan ini melayakkan pembaca mendapat dua tiket berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Selain itu, setiap pembaca juga hanya dihadkan menukar empat tiket saja.

GSC Aman Central yang mula beroperasi semalam menjadi pawagam pertama di Kedah menyediakan kemudahan THX dan teknologi audio Dolby Atmos, sekali gus memberi pengalaman menakjubkan buat penonton.

Pawagam itu turut dilengkapi 10 panggung digital dengan 1,599 tempat duduk.

Maklumat lanjut mengenai GSC Aman Sentral dan tayangan filem The Last Witch Hunter boleh melayari laman www.gsc.com.my.

Filem The Last Witch Hunter lakonan Vin Diesel mengisahkan mengenai pemburuan ahli sihir.

Vin yang membawa watak sebagai pemburu Kaulder yang disumpah ratu ahli sihir jahat hidup abadi menampilkan sisi berbeza bintang siri filem Fast and Furious itu.

Dalam filem arahan Breck Eisner itu, Kaulder ditugaskan untuk menghentikan wabak yang memusnahkan kota metropolitan New York.

Namun, tidak pernah sesekali terlintas dalam fikiran pemburu itu dia dikehendaki bekerjasama dengan seorang ahli sihir jelita untuk menyelesaikan misi terbabit.

Selain Vin Diesel, turut membintangi filem ini ialah Elijah Wood, Michael Caine dan Rose Leslie.

Penggambaran The Last Witch Hunter terpaksa ditundakan seketika berikutan pemergian bintang filem Fast and Furious, Paul Walker yang juga rakan baik Diesel akibat kemalangan jalan raya pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 11:40 AM