Keadaan banjir yang melanda Kuantan pada 2012. - Foto NSTP (Fail)
Keadaan banjir yang melanda Kuantan pada 2012. - Foto NSTP (Fail)

Kuantan: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membekukan cuti kira-kira 1,400 orang pekerjanya sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh Disember ini.

Yang Dipertuanya Datuk Zulkifli Yaacob berkata bermula 1 Disember ini kakitangan terbabit akan bersiap sedia berkhidmat di kawasan ditetapkan sekiranya banjir besar melanda negeri ini.

"Pembekuan cuti kakitangan membabitkan semua jabatan dalam tempoh sebulan. Ini dilakukan bagi memastikan kita dapat menggerakkan kekuatan tenaga yang ada pada bila-bila masa," katanya di sini hari ini.

Zulkifli berkata pihaknya bertanggungjawab menyelia jawatankuasa pemindahan dan keselamatan banjir negeri serta daerah dengan mengerahkan keseluruhan tenaga bagi membantu mangsa berdasarkan kepakaran masing-masing.

MPK turut menyediakan sebuah bilik mesyuarat di Pusat Transformasi Bandar di sini untuk dijadikan sebagai bilik gerakan banjir di negeri sepanjang musim tengkujuh itu nanti.

"Kita turut menyediakan kemudahan pengangkutan seperti lori untuk membantu agensi terbabit dalam kerja pengagihan bantuan kepada mangsa banjir kelak," kata

Zulkifli. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 4:52 PM