SHAH Iskandar dan Siti Sarah.
SHAH Iskandar dan Siti Sarah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak kisah percintaannya bersama gadis dikenali sebagai Siti Sarah dihidu peminat dan media, pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, 33, sudah tidak berahsia berkenaan hubungan mereka.

Malah, Shah juga semakin terbuka memuat naik gambar kekasihnya itu di laman Instagam

miliknya.

Ternyata perancangannya untuk mendirikan rumah tangga seperti dikongsikan sebelum ini bakal menjadi kenyataan apabila pelakon drama Teduhan Kasih itu akan bernikah pada Januari tahun depan.

“Alhamdulillah, jodoh saya sudah sampai. Buat masa sekarang persiapan sudah lebih 80 peratus siap. Tinggal lagi beberapa perkara membabitkan perjalanan majlis nikah dan resepsi masih dalam proses.

“Saya akan melangsungkan pernikahan

di Singapura disebabkan beberapa perkara membabitkan kerakyatan saya dan dia. Selepas itu barulah majlis persandingan diadakan di Kuala Lumpur. Perkara ini juga sudah mendapat persetujuan kedua-dua pihak,” katanya yang mengenali Siti Sarah sejak dua tahun lalu.

Khabar gembira itu sekali gus menghentikan segala spekulasi yang timbul membabitkan hubungan terjalin.

Bagi Shah, dia ada alasan tersendiri kenapa sebelum ini dia enggan bercerita lanjut.

“Seperti saya katakan dulu, selagi perkara ini tak sah saya tak berani nak berkata apa-apa. Lagipun soal perkahwinan tak boleh dibuat sambil lewa. Sebab itu saya mengambil pendekatan ‘just go with the flow’.

“Apabila segala-galanya sudah diputuskan, barulah saya boleh berkongsi kepada semua. Saya juga tak mahu perkongsian ini disalah tafsir. Niat saya sekadar ingin menguar-uarkan perkara baik. Jika tak, nanti lain pula persepsi masyarakat,” katanya.

Memandangkan kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing, soal perkahwinan itu perlu dirancang sebaik-baiknya.

“Berkahwin bukan perkara sembarangan. Jadi, banyak perkara perlu diambil berat. Tidak sekadar bercakap, sebaliknya setiap yang dirancang itu perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Malah, selepas berkahwin ia menjadi satu tanggungjawab lain pula. Sebab itu saya mengambil masa agak lama untuk bersedia ke arah ini.

Pastinya cabaran selepas berkahwin itu lebih hebat,” katanya.

Tambah Shah, dia tidak mahu terburu-buru membawa hubungannya bersama gadis berusia 30 tahun itu ke fasa seterusnya sebaliknya sentiasa percaya jika ada jodoh takkan ke mana.

“Hubungan kami berjalan lancar dan masing-masing selesa dengan apa yang dilalui. Sepanjang dua tahun berkawan, baru-baru ini saja kami membicarakan hal terbabit.

“Dalam kalangan ahli keluarga, semua sudah tahu niat kami cuma baru kali ini ia dibawa berbincang secara serius,” katanya.

Nafi lambat kahwin sebab tak ada duit

Bercerita mengenai majlis pernikahan itu nanti, Shah berkata, dia hanya mengadakan majlis sederhana di sebuah hotel

di Singapura membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak, sanak-saudara dan rakan terdekat.

“Ikut perancangan nak buat semua majlis di Singapura, tapi memikirkan keluarga sebelah pihak bakal isteri, jadi satu majlis persandingan perlu diadakan di Kuala Lumpur.

“Jujurnya, banyak perkara perlu diambil kira. Dari segi kos dan perbelanjaan juga bukannya sikit. Alhamdulillah, simpanan sepanjang berlakon sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban,” katanya.

Menurut Shah, dia turut menerima tajaan daripada beberapa pihak membabitkan majlis nikah dan bersanding.

Pemenang Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak dua kali ini menafikan masalah kewangan menjadi punca dia lambat kahwin.

“Kami dua individu yang sangat sibuk. Wajar jika hal seperti ini belum menjadi keutamaan pada awal karier masing-masing. Tidak timbul soal cukup duit atau tidak, sebaliknya lebih kepada masa.

“Kalau diikutkan kos perbelanjaan kahwin hari ini boleh melebihi RM100,000. Justeru, kami mengimpikan majlis perkahwinan yang meriah di kedua-dua belah pihak termasuk di Singapura, insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:14 AM