Beijing: Polis di utara China menahan tiga orang disyaki mencuri mayat untuk dijual sebagai ‘pengantin perempuan’ dalam ritual perkahwinan hantu yang membolehkan orang yang mati bujang berkahwin.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan suspek utama lelaki berusia 72 tahun mendapat khabar mengenai kematian seorang wanita muda di kampung berhampiran di wilayah Shanxi dan mahu menjual mayatnya kepada keluarga lelaki yang mati bujang.

Menurut Xinhua, suspek utama dan dua rakannya berpura-pura menjadi keluarga wanita terbabit dan menjualnya dengan harga 25,000 yuan (RM14,500) kepada seorang pembeli.

Penduduk kampung yang melihat mereka mencari kubur wanita itu minggu lalu menghubungi polis yang menangkap mereka.

Amalan perkahwinan selepas mati itu berusia ratusan tahun dan sering dilakukan di kawasan pedalaman miskin yang penduduknya masih mengamalkan kepercayaan kuno, kata profesor bahasa dan kebudayaan China di Universiti Normal Nanjing, Xu Keqian.

Dalam amalan itu orang kampung percaya mengahwinkan mayat orang yang mati bujang akan mengelak daripada nasib malang akibat meninggal dunia dalam keadaan belum berkahwin.

Menurutnya, mayat dipilih disemadikan semula dengan ‘pasangannya’ dalam satu ‘majlis perkahwinan’ dengan diiringi gong serta gendang diikuti majlis pengebumian. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:57 AM