WANITA sering menjadi mangsa jenayah siber berikutan kurang memperkasakan diri mengenainya.
WANITA sering menjadi mangsa jenayah siber berikutan kurang memperkasakan diri mengenainya.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kepesatan penggunaan ruang siber dengan berkembangnya laman sosial di Internet ketika ini bukan saja memberi impak positif malah negatif dalam aspek sosioekonomi, kebudayaan serta politik secara globalnya.

Bagaimanapun, kala ruang siber menyediakan platform selesa untuk digunakan dan pengguna Internet dapat menikmati kebebasan bersuara secara dalam talian, aktiviti jenayah siber turut pesat menjalankan kegiatan mengumpul maklumat menggunakan platform yang sama.

Berdasarkan hasil kajian kelolaan Kapersky Lab dan B2B International, baru-baru ini, pengguna Internet wanita kurang prihatin dalam melindungi diri daripada ancaman siber berbanding dengan lelaki.

Telefon pintar dan Internet dengan mudah menjadi alat untuk memperdayakan wanita malah semakin menjadi gejala dalam kalangan penduduk negara membangun.

Kisah wanita yang ditipu kekasih siber, menjadi mangsa bahan lucah dan ‘dirompak’ dalam talian kerana memberikan maklumat diri tanpa memikirkannya terlebih dulu adalah antara kes yang dilaporkan setiap hari disebabkan majoriti wanita kurang kesedaran mengenai aspek keselamatan ketika melayari Internet.

Hanya 19 peratus pengguna wanita percaya mereka boleh menjadi mangsa penjenayah siber berbanding nisbah satu dalam empat (25 peratus) pengguna lelaki.

Malah hasil kajian terbabit menunjukkan secara umumnya pengguna wanita kurang arif mengenai ancaman siber berbanding lelaki.

Sebagai contoh, 27 peratus pengguna lelaki dan 38 peratus wanita tidak tahu mengenai perisian tebusan (ransomware); 23 peratus pengguna lelaki dan 34 peratus pengguna wanita kurang pengetahuan mengenai perisian hasad (malware) sementara 21 peratus lelaki serta 34 peratus pengguna wanita kurang pengetahuan mengenai takrifan sebenar eksploitasi siber.

Kurangnya kesedaran mengenai subjek ini menyebabkan pengguna wanita tidak memberikan perhatian sewajarnya untuk memelihara diri daripada ancaman terbabit.

Justeru, bagaimana Internet boleh memperbaiki dan memperkasakan kehidupan seseorang wanita?

Apabila mahu memberikan kebenaran penggunaan peranti kepada orang lain (kanak-kanak, rakan sosial, rakan sepejabat dan sebagainya), sebaik-baiknya pelihara data peribadi terlebih dulu.

Ini berikutan 36 peratus wanita tidak melakukan apa-apa untuk memelihara data mereka kerana berasakan tiada risiko.

Tidak ketinggalan memasang penyelesaian keselamatan pada peranti agar dapat mengurangkan risiko kecurian maklumat peribadi.

Namun terdapat beberapa jenis ancaman siber yang lebih banyak dialami pengguna lelaki. Contohnya pada tahun lalu, serangan siber yang menyasarkan data kewangan dialami oleh 47 peratus pengguna lelaki berbanding 39 peratus oleh pengguna wanita.

Ia disebabkan pengguna wanita lebih prihatin dengan keselamatan transaksi kewangan berbanding aktiviti dalam talian yang lain.

“Dalam kehidupan seharian pun, semua sedia maklum mengenai kepentingan langkah berwaspada bagi memelihara sesuatu yang berharga dalam diri kita.

“Pemikiran atau idea yang sama perlu diguna pakai ketika menggunakan Internet. Pematuhan garis panduan keselamatan dalam talian yang munasabah dapat mengurangkan risiko kehilangan data berharga, sekali gus mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan dalam talian,” ujar Elena Kharchenko, Ketua Pengurusan Produk Konsumer Kapersky Lab.

Dalam masa sama, wanita digesa mengambil inisiatif mudah sebagai langkah pertama memastikan keselamatan mereka apabila melayari Internet.

Kerap menukar kata laluan, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali dengan tidak mengulang kata laluan yang sudah digunakan selain memeriksa akaun kewangan dalam talian adalah antara langkah mudah bagi mengelakkan diri menjadi mangsa.

Selain itu, pastikan laman sesawang media sosial mempunyai ketetapan privasi tertinggi dan sentiasa log keluar terutama apabila menggunakan WiFi di tempat awam atau berkongsi komputer seperti di hotel serta kafe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 8:56 AM