MEAGAN (kiri) dan kakaknya Holly.
MEAGAN (kiri) dan kakaknya Holly.

Florida (Amerika Syarikat): Dua beradik perempuan yatim piatu yang terpisah di Korea berdekad lalu bertemu semula selepas kebetulan bekerja di bahagian sama di sebuah hospital di Florida.

Holly Hoyle O’Brien dan adiknya Meagan Hughes terpisah ketika masih kecil selepas bapa mereka maut dilanggar kereta api di Korea Selatan pada 1970-an.

Ibu tirinya membawa si adik yang masih kecil menyebabkan Holly atau nama asalnya Pok-nam Shin diserahkan kepada rumah anak yatim sehingga diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri warga Amerika ketika berusia sembilan tahun pada 1978.

Holly dibesarkan bersama sembilan beradik lain termasuk tiga perempuan di Virginia. Ibu angkatnya berusaha membantunya mencari adik kandungnya di Korea Selatan, tetapi tidak menemui sebarang rekod kanak-kanak berkenaan.

Pada masa sama, adiknya Eun-Sook Shin juga membesar di rumah anak yatim selepas kematian ibu tirinya.

Dia akhirnya diambil sebagai anak angkat, juga oleh sebuah keluarga Amerika dan membesar di New York dan diberi nama baru.

Awal tahun ini, Holly ditugaskan di Bayfront Health Port Charlotte di unit pembedahan dan secara kebetulan Meagan juga diterima bekerja di situ sebagai pembantu fisioterapi.

Selepas berkenalan, kedua-duanya menjadi sahabat baik sebelum mula membandingkan kisah lampau masing-masing yang menimbulkan syak mengenai hubungan sebenar mereka.

Akhirnya mereka membuat ujian DNA pada musim panas lalu yang mengesahkan kedua-duanya sebenarnya adik-beradik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:26 AM