ASWAT dan Sufarah bersama produk Celebrity Yogurt yang semakin mendapat sambutan.
ASWAT dan Sufarah bersama produk Celebrity Yogurt yang semakin mendapat sambutan.
Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Selepas lima tahun menjual yogurt sejuk beku, Asfa Berkat Enterprise (Asfa Berkat) kini muncul syarikat Bumiputera pertama di negara yang mengeluarkan minuman yogurt berasaskan buah-buahan jenama Celebrity Yogurt dengan sasaran jualan 250,000 botol tahun depan.

Ketika ini, Asfa Berkat beroperasi di Rantau Panjang, dekat sini, sudah meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 30,000 botol sebulan kepada 170,000 botol pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aswat Izani Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan pengeluaran Celebrity Yogurt meningkat sehingga 250,000 botol sebulan jika mengambil kira corak permintaan ketika ini.

Menurutnya, minuman yogurt lebih mendapat sambutan pelanggan berbanding yogurt sejuk beku berikutan keenakan rasa buah-buahan segar tanpa dicampur dengan bahan pengawet atau perisa tiruan.

“Jika pelanggan memilih Celebrity Yogurt tembikai susu misalnya, mereka akan menikmati keenakan rasa buah sebenar kerana tidak dicampur dengan perisa tiruan.

“Ada pelanggan yang mencuba mengakui keenakan Celebrity Yogurt setanding dengan produk luar negara,” katanya.

Selain tembikai susu, perisa lain ialah pisang, mangga, buah naga dan terbaru, perisa strawberi yang dijual pada harga RM7.90 sebotol.

Aswat yang dibantu isterinya, Sufarah Azizah Md Sobhi berkata, idea mengeluarkan minuman yogurt timbul selepas mencuba produk dihasilkan di Mesir yang memanfaatkan buah-buahan di negara itu sebagai minuman kesihatan.

“Berikutan minuman yogurt baik untuk kesihatan termasuk membantu menurunkan berat badan menyebabkan Celebrity Yogurt mendapat sambutan dalam kalangan pengusaha spa dan pusat kecantikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:13 AM