Maklumat palsu yang tersebar di laman sosial sejak malam tadi.
Maklumat palsu yang tersebar di laman sosial sejak malam tadi.
Oleh Mohammad Ishak

Besut: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Mohamad Omar menafikan pengantin perempuan, Noraliza Razaki,18, yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Renek, semalam, sudah meninggal dunia seperti yang ‘viral’ di laman sosial sejak malam tadi.

Sebaliknya, Noraliza kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas dirujuk dari Hospital Besut.

Menurutnya, Noraliza dari Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan yang patah tangan dan paha pada mulanya menerima rawatan kecemasan di Hospital Besut kira-kira 3 petang semalam.

Dia dirujuk ke HSNZ pagi tadi untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital berkenaan.

Katanya, pesakit agak tenat kerana terdapat perdarahan dalam otak, patah tulang tangan dan paha serta menggunakan alat bantuan pernafasan tetapi keadaannya stabil.

"Adiknya (Nur Alya Maisara Mohd Razaki,9) yang cedera di paha pula dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pagi tadi," katanya.

Semalam, suami Noraliza, Muhammad Norizan Mohd Nor dan tiga lagi ahli keluarganya maut selepas Perodua Viva dipandunya bertembung sebuah pacuan empat roda Isuzu D-Max.

Kejadian jam 2.20 petang itu berlaku ketika Perodua Viva berkenaan yang turut dinaiki empat penumpang dalam perjalanan pulang ke Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, bagi majlis menyambut Muhammad Norizan dan Noraliza.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan tetapi terbabas di laluan kanan menyebabkan kenderaannya bergesel dengan kereta sewa dari arah bertentangan sebelum bertembung Isuzu D-Max terbabit.

Turut terbunuh, ibu mentua Muhammad Norizan, Rozila Jusoh, 42, bersama dua anak, Norma,15 dan Mohd Haikal yang berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 8:43 PM