KERETA dan motosikal dilihat melintasi sebuah jambatan di Pekanbaru, Riau, kelmarin, dengan keadaan jerebu tebal.
KERETA dan motosikal dilihat melintasi sebuah jambatan di Pekanbaru, Riau, kelmarin, dengan keadaan jerebu tebal.
Agensi

Jakarta: Menteri Hal Ehwal Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Yohana Yembise berkata, kerajaan mungkin memindahkan penduduk yang berdepan dengan jerebu teruk jika keadaan bertambah buruk, khususnya di Riau.

Bercakap kepada wartawan selepas kempen Hentikan Pembulian Siber di Jakarta, dia berkata, usaha itu akan dilakukan bagi memastikan kanak-kanak yang terlibat terus bersekolah.

“Kami akan menempatkan mereka di kawasan yang tidak dilanda jerebu bagi memastikan mereka tetap boleh bersekolah,” kata Yohana.

Dia memberitahu demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengenai keadaan jerebu yang makin teruk, bukan sahaja melanda Riau, tetapi juga menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan Singapura.

Dia mengaku kesan jerebu, yang paling buruk sejak 1997, sejumlah penduduk Riau, wilayah Indoneia paling teruk terjejas, sakit, termasuk menghadapi masalah pernafasan dan lain-lain.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan menutup sementara beberapa sekolah bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

Mengenai perkara itu, Yohana berkata, dia mengerahkan kakitangannya meninjau sendiri keadaan di wilayah itu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka berhubung cara mengelak pelajar dipaksa bercuti.

Menurutnya, kementeriannya juga akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran dan Kebudayaan untuk menyelesaikan masalah murid di Riau.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi memastikan, dalam keadaan apa sekalipun, murid perlu ke sekolah,” katanya.

Pada masa sama, dia juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan mengenai pembiayaan rawatan penduduk yang sakit kerana jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:08 AM