Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) juga diadakan untuk peringkat sekolah menengah di Terengganu mulai tahun depan. - Foto NSTP (Fail)
Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) juga diadakan untuk peringkat sekolah menengah di Terengganu mulai tahun depan. - Foto NSTP (Fail)

Hulu Terengganu: Terengganu akan menjadi perintis pelaksanaan kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di peringkat sekolah menengah mulai tahun depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kelas Kafa yang kini dilaksanakan di peringkat sekolah rendah akan mula diperkenal di seluruh sekolah menengah di negeri itu mulai Januari tahun depan.

"Kerajaan negeri akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan lebih terperinci berhubung pelaksanaan kelas Kafa ini dan kita nak jadi perintis bagi Kelas Kafa sekolah menengah atau boleh dikenali sebagai Kelas Kafa Untuk Remaja.

"Kita akan kenalpasti pelajar yang dapat menguasai al-Quran dan kita akan buka kelas mengikut keperluan dengan menggunakan khidmat guru Kafa sedia ada. Kelas mungkin diadakan awal pagi sebelum pembelajaran bermula," katanya pada Majlis Penyerahan Cek daripada Kerajaan Negeri kepada Kompleks Desa Taqwa (KDT) di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata bagaimanapun ia masih di peringkat cadangan dan kerajaan negeri akan merujuk kepada JPNT terlebih dahulu.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 8:13 PM