Notis penutupan sekolah selama dua hari dan penangguhan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) serta Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) dipaparkan di pagar Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9, Putrajaya, petang tadi. - Foto BERNAMA
Notis penutupan sekolah selama dua hari dan penangguhan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) serta Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) dipaparkan di pagar Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9, Putrajaya, petang tadi. - Foto BERNAMA

Putrajaya: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ditutup secara automatik jika sekolah di sesuatu kawasan diisytiharkan tutup oleh Kementerian Pendidikan akibat jerebu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penutupan Tabika KEMAS itu adalah selari dengan keputusan Kementerian Pendidikan.

"Perkara itu sudah diputuskan sebelum ini, namun masyarakat masih belum mengetahuinya secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri meminta pengusaha Tabika KEMAS sentiasa peka dengan pengumuman Kementerian Pendidikan memandangkan sesi pembelajaran dijalankan dalam kelas yang tidak berhawa dingin.

Mengenai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Ismail Sabri berkata MRSM tidak melaksanakan kelas formal di bilik darjah, sebaliknya pelajar digalakkan mengulang kaji pelajaran di pusat sumber, bilik seminar dan dewan besar yang kesemuanya berhawa dingin.

Beliau berkata memandangkan MRSM melaksanakan Pendidikan Secara Asrama Penuh Berstruktur, tidak praktikal membenarkan pelajar pulang ke rumah.

"Sebaliknya operasi dengan sesi pembelajaran boleh dijalankan secara tidak formal seperti di perpustakaan yang berhawa dingin," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 8:03 PM