Suasana di kaunter masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching sesak dengan penumpang yang terkandas berikutan pembatalan 26 penerbangan sejak jam 5.30 pagi tadi akibat jerebu.
Suasana di kaunter masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching sesak dengan penumpang yang terkandas berikutan pembatalan 26 penerbangan sejak jam 5.30 pagi tadi akibat jerebu.

Kuala Lumpur: Beberapa lapangan terbang dalam negara kembali beroperasi termasuk Kuching dibuka semula pada jam 9.10 pagi tadi.

Sebelum ini laluan penerbangan itu ditutup sejak 7 pagi ini oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pihak berkuasa lapangan terbang akibat jerebu tebal.

Pengurus kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) Mohd Nadzim Hashim berkata, setakat jam 11 pagi tadi, tiga penerbangan sudah berlepas dari lapangan terbang itu berikutan jarak penglihatan meningkat kepada 2,000 meter berbanding hanya 300 meter 7 pagi tadi," katanya.

Mengikut jadual perjalanan hari ini, ada 124 penerbangan ketibaan dan pelepasan di lapangan terbang tersebut.

Bagaimanapun, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), menerusi Twitter menasihatkan penumpang di LTAK menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini dari semasa ke semasa.

Di IPOH, semua penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang melibatkan pelepasan dan ketibaan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang kelewatan sejak pagi ini.

Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd Tengku Mahmud Tengku Zainal berkata: "Penumpang boleh menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini ataupun melayari laman sesawang kami untuk maklumat lanjut."

i SUBANG, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah turut beroperasi seperti biasa tanpa sebarang pembatalan atau kelewatan penerbangan.

Menurut jurucakapnya, setakat ini tiada perubahan jadual dilakukan sama ada penerbangan dalam negara mahupun luar negara.

Sementara itu, tujuh penerbangan melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia dan Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) terjejas berikutan keadaan jerebu yang tidak mengizinkan di kawasan terbabit.

Di KLIA, dua penerbangan MAB berpatah balik, iaitu KL-Kuching dan KL-Kuantan. Di KLIA2, tiga penerbangan AirAsia dibatalkan iaitu KL-Pontianak,

KL-Pekanbaru dan KL-Palembang, serta dua penerbangan Malindo Air dibatalkan, iaitu KL-Pulau Pinang dan KL-Singapura, kata sumber MAHB. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:09 PM