Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengenal pasti sektor perkhidmatan akan terus mendapat permintaan tinggi pasaran asing terutama membabitkan bidang seperti pelancongan, teknologi maklumat, perakaunan dan perunding perniagaan.

Bagi tempoh dari Januari hingga Jun 2014, Malaysia mencatatkan nilai eksport berjumlah RM69.35 bilion dalam sektor perkhidmatan dan nilai itu menguncup 4.7 peratus kepada RM66.11 bilion dalam tempoh sama tahun ini berikutan kelembapan ekonomi dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, walaupun prestasi perkhidmatan menurun pada ketika ini, ia mempunyai potensi besar untuk diterokai di pasaran asing terutama dalam bidang pelancongan.

Beliau berkata, kepelbagaian penawaran produk eksport negara yang diperkenalkan oleh usahawan tempatan membantu menjadikan negara sebagai lokasi dagangan dengan kepelbagaian kegiatan ekonomi yang boleh menembusi pasaran asing.

“Jika dahulu, kita bergantung kepada perkhidmatan berimpak tinggi seperti minyak dan gas atau komoditi sebagai sumber eksport ke pasaran asing, tetapi pada ketika ini Malaysia mempunyai banyak produk antaranya dalam sektor perkhidmatan dan halal yang boleh diketengahkan kepada pasaran asing.

“Malah, kita juga sentiasa mengalakkan usahawan Bumiputera untuk menyertai sektor perkhidmatan seperti bidang teknologi maklumat yang mana semua orang tahu bidang ini sentiasa berkembang dari semasa ke semasa serta mempunyai permintaan pasaran yang tinggi di peringkat global,” katanya.

Tahun ini, MATRADE menawarkan 116 Aktiviti Promosi Perdagangan yang mana 76 peratus daripadanya tertumpu kepada pasaran Asia. Aktiviti perdagangan pada tahun ini lebih berorientasi kepada kehendak industri dan tumpuan diberi kepada sektor yang berimpak tinggi agar ia memberi pulangan baik ke atas eksport usahawan tempatan.

MATRADE juga menawarkan Program eTRADE kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk usahawan Bumiputera, Wanita dan Belia (BWB) sebagai platform perdagangan tanpa sempadan di bawah inisiatif Digital Malaysia di mana program ini memberi fokus kepada penggalakan eksport melalui sebuah entiti e-pasaran yang kukuh iaitu Alibaba.com.

Dzulkifli berkata, MATRADE juga mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Program Go-Ex di bawah Program Berimpak Tinggi (High Impact Program–HIP) pada tahun 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:09 AM