RAJA Barizan memberi taklimat teknik penanaman.
RAJA Barizan memberi taklimat teknik penanaman.
PESERTA mencuba teknik penanaman pokok di kawsan hutan terosot.
PESERTA mencuba teknik penanaman pokok di kawsan hutan terosot.
Oleh Mohamad Hussin


Pemilihan pokok untuk memulihara kawasan hutan terosot perlukan tanaman sihat daripada spe­sies berkualiti.

Antara ciri pokok hutan untuk penanaman seperti itu ialah spesies hidup tumbuh, bekalan stok tanaman mudah diperoleh, tanaman bebas penyakit, peratus kehidupan dan kadar pertumbuhan yang tinggi serta mempunyai nilai konservasi.

Justeru, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengambil inisiatif menyediakan beberapa pelan tindakan bagi projek pemuliharaan lembangan Tasik Chini, Pekan, Pahang.

Pegawai Penyelidik Kanan FRIM Dr Raja Barizan Raja Sulaiman berkata, pemulihan kawasan hutan terosot melalui penanaman pokok hutan perlu mengambil kira spesies kerana terdapat pokok yang didefinisikan sebagai ‘forest weeds’ (berumput).

Beliau berkata, penanaman di Tasik Chini membabitkan dua kawasan iaitu di hutan terosot Rizab Chini dan Sungai Chini termasuk tasik untuk pengukuhan tebing.

“Antara projek dijalankan ialah kajian penanaman inovatif untuk pengukuhan tebing Sungai Chini (zon penampan).

“Kajian penanaman di tebing air bagi pengukuhan tebing Sungai Chini bertujuan mengenal pasti spesies anak pokok sesuai tumbuh dalam kawasan berisiko ditenggelami air sungai dalam jangka pendek dan panjang ketika musim air sungai melimpah ke tebing.

“Kajian juga untuk mengenal pasti teknik penanaman sesuai dan kos efektif bagi memastikan tanaman berkenaan tumbuh membesar dan mengikat tanah tebing sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Penyediaan Stok Tanaman Untuk Penanaman Tumbuhan Darat dan Akuatik di Lembangan Tasik Chini, baru-baru ini.

Raja Barizan berkata, tebing sungai yang landai dan tinggi serta menegak tanpa ditumbuhi tumbuhan menyebabkan ia tidak sesuai untuk kaedah penanaman.

“Tebing sungai menegak disebabkan runtuhan tebing akibat pukulan ombak secara berterusan daripada bot yang melalui Sungai Chini selain banjir besar.

“Runtuhan tebing akan menyebabkan risiko kehilangan substrat tanah yang diperlukan untuk penanaman. Akibat runtuhan ini, tebing sungai kehilangan pokok yang tumbuh di situ kerana tumbang dan hanyut ke dalam sungai.

“Justeru, kawasan ini memerlukan penanaman semula spesies pokok yang sesuai dan memerlukan teknik penanaman inovatif bagi memastikan ia dapat tumbuh,” katanya.

Menurutnya, teknik penanaman sesuai ialah menggunakan dahan hidup untuk tebing tinggi manakala bagi tebing sungai atau tasik yang landai, pokok bemban lebih sesuai ditanam.

“Spesies yang dipilih untuk teknik dahan hidup hendaklah jenis yang mudah mengeluarkan akar dan hidup subur di kawasan berair.

“Stok dahan hidup yang dikaji ialah dahan pokok kelat, ara dan menterbang manakala spesies bemban ditemui di kawasan tebing sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:31 AM