PEMBERIAN hadiah boleh menaikkan semangat anak  untuk belajar.
PEMBERIAN hadiah boleh menaikkan semangat anak untuk belajar.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Semua ibu bapa di dunia mahu anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan berjaya mencapai kejayaan dalam setiap lapangan diceburi seterusnya menjalani kehidupan selesa pada masa hadapan.

Pelbagai cara digunakan ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka belajar dengan tekun demi mencatat keputusan terbaik dalam setiap ujian diambil terutama ketika menduduki peperiksaan utama.

Cara biasa adalah berjanji untuk memberi hadiah atau membelikan apa saja diingini anak jika berjaya mencatat keputusan cemerlang.

Ada ibu bapa yang mengingatkan mengenai hukuman yang akan dikenakan pada anak mereka jika tidak berjaya, misalnya membatalkan percutian ke destinasi idaman atau me­ngambil semula barangan menjadi kesayangan anak mereka.

Apapun caranya, ia beserta niat baik dan harapan ibu bapa supaya anak berjaya dalam pelajaran, seterusnya dalam hidup.

Tahap kejayaan pelajaran mampu membawa anak masing-masing melangkah masuk ke menara gading, mengambil jurusan penting dan secara tidak langsung mengubah kehidupan dan menaikkan taraf hidup keluarga apabila anak berjaya kelak.

Ada segelintir kanak-kanak tidak memerlukan rangsa­ngan berbentuk hadiah yang dijanjikan ibu bapa tetapi sesetengah lagi sukar memberi tumpuan pada pelajaran atau tidak nampak manfaat dalam proses belajar hingga ibu bapa terpaksa mengambil taktik lain demi menaikkan semangat anak mereka untuk belajar.

Terdapat kebaikan dan keburukan dalam kaedah diguna pakai kerana bimbang sekiranya sering dijanjikan dan mendapat hadiah, anak menganggap ia sesuatu yang wajib atau belajar kerana cuma mengharapkan ganjaran seperti dijanjikan.

Kebaikannya, sudah tentu ia dapat meningkatkan semangat anak untuk belajar tanpa perlu dileteri atau disuruh setiap hari kerana mereka tahu untuk mendapat hadiah dijanjikan, mereka perlu belajar dan mencari masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Bagi ibu bapa berada, sudah tentu pemberian hadiah bukan sesuatu terlalu difikirkan ataupun membebankan dan mereka boleh mendapatkan hadiah pada harga mahal tanpa menjejaskan perbelanjaan bulanan yang biasa.

Namun bagi ibu bapa yang kurang mampu, ia mungkin memberi tekanan kepada mereka untuk menyediakan hadiah idaman anak apa lagi sekiranya anak mahukan sebuah basikal mahal atau permainan mencecah ratusan ringgit.

Ini sudah pasti membebankan dan tidak praktikal untuk mereka lakukan setiap kali anak hendak menduduki peperiksaan.

Selain itu, amalan memberi hadiah untuk mendapat markah boleh membuatkan anak membuat perbandingan dengan hadiah diterima rakan mereka.

Jika anak daripada keluarga kurang berkemampuan ingin bersaing dari segi hadiah dengan anak orang berada, tentu ia menimbulkan perasaan negatif apabila ia tidak dapat dipenuhi.

Menurut pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Teamcoach International, M Shanmugam, tidak salah untuk ibu bapa mengamalkan pemberian hadiah sekiranya anak berjaya namun tidak sepatutnya hadiah diberikan setiap kali anak hendak mengambil ujian atau peperiksaan.

Ibu bapa harus menjadikan hadiah berkenaan diberikan jika anak mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika ibu bapa beri hadiah setiap kali anak menduduki ujian biarpun ia bukan peperiksaan utama, ini akan menimbulkan jangkaan dalam diri anak mengenai hadiah itu dan apabila ibu bapa tidak dapat memenuhi janji dan jangkaan itu, hubu­ngan kepercayaan antara ibu bapa dan anak akan terjejas.

“Ibu bapa juga tidak seharusnya memberi hadiah yang mahal kerana bila tiba masanya apabila mereka tidak dapat membelikan hadiah mahal kerana tidak cukup wang untuk membeli dan ada keutamaan lain perlu didahulukan, ia memberi kesan negatif kepada hubungan ibu bapa dan anak.

“Secara asasnya, ibu bapa jangan menimbulkan jangkaan dan membuatkan anak kecewa apabila jangkaan itu dapat dapat dipenuhi,” katanya.

Selain itu, Shanmugam berkata, hadiah bukan hanya dalam bentuk barangan. Hadiah juga boleh diberikan dalam bentuk kata pujian, menghargai dan mengeluarkan kata positif kepada anak.

Katanya, apabila ibu bapa meluahkan perasaan bang­ga dengan kejayaan anak mereka dan memaklumkan anak mereka akan berjaya dalam hidup kerana mencatat keputusan baik, juga secara tidak langsung menaikkan semangat anak untuk mencatat keputusan jauh lebih baik pada masa hadapan.

“Kata pujian adalah satu daripada alat digunakan untuk melatih anak menjadi lebih baik. Pujian pula mesti kena pada tempatnya.

“Kata positif daripada ibu bapa boleh memberi inspirasi yang besar kepada anak berbanding hadiah.

Mendoakan kejayaan anak juga adalah satu bentuk hadiah.

“Apabila anak mendengar kata positif, dia akan rasa tenang, selamat dan penting. Ini cara lebih baik berbanding pemberian

hadiah material dalam usaha ibu bapa memberi semangat dan keyakinan diri kepada anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:01 AM