Sepanjang September ini, tayangan filem Melayu di pawagam lebih rancak dan meriah dengan kehadiran filem yang menjadi sebutan dan ditunggu sejak sekian lama.

Malah ada minggu tertentu dua filem ditayangkan serentak bermakna enam filem ditayangkan pada September bermula dengan Usop Wilcha - Menghonjang Makhluk Muzium pada Khamis lalu, Bravo 5 (10 September), dua filem pada 17 September iaitu Kapsul dan Polis Evo dan dua filem juga pada 24 September, Jwanita dan Girlfriend Kontrak.

Dari satu segi, ia perkembangan cukup baik kepada industri dan waktu sama persaingan sihat kepada penggiat filem kita.

Siapa kata karyawan kita tidak berminat menghasilkan filem dalam keadaan industri yang lesu ketika ini malah masih bersemangat dan gigih menghasilkan produk berbeza dan lain daripada lain.

Apabila filem menarik ini dilambakkan dalam satu bulan, kesannya cukup membimbangkan kerana pasaran filem Melayu sangat tenat ketika ini.

Rata-rata kutipannya bawah RM100,000 jauh sekali mencapai RM1 juta. Dari Januari hingga Ogos, ada beberapa filem saja mencatat kutipan lebih RM1 juta.

Filem Jejak Warriors yang disebut-sebut mampu menarik penonton ke panggung kerana jalan cerita menarik dengan kehadiran bintang bola sepak popular, nyata turut menjadi mangsa.

Mengapa filem ini gagal menarik kaki bola ke panggung? Mungkin salah percaturan hingga wujud semangat kenegerian apabila papar pasukan negeri tertentu.

Hakikat yang perlu diakui kini ialah minat masyarakat untuk ke panggung tidak ada berbanding dulu. Kalau dulu panggung dipenuhi golongan remaja dan mat rempit, kini agak sukar untuk melihat mereka beratur membeli tiket.

Persoalannya, ke mana mereka pergi dan mengapa hilang minat menonton filem di panggung? Banyak faktor sebenarnya. Ketepikan jalan cerita dikatakan tidak menarik kerana filem yang pernah mencatat kutipan tinggi sebelum ini pun bukanlah filem yang bagus tetapi tetap menjadi tumpuan remaja dan mat rempit.

Paling utama faktor ekonomi dan harga tiket kini agak mahal berbanding dulu RM10. Dengan keadaan ekonomi agak tenat sekarang ditambah pula dengan GST, perlu berfikir banyak kali untuk keluar duit membeli tiket wayang.

Kalau menonton wayang bersama teman, tiket untuk dua orang RM30 (tiket biasa), beli bertih jagung RM15 kemudian makan malam atau makan tengah hari RM50. Bayangkan kalau satu keluarga dengan dua anak, paling kurang perlukan RM150 untuk keluar menonton wayang.

Itu belum lagi faktor lain seperti media sosial menyebabkan remaja terpaku dengan telefon bimbit, tablet dan komputer.

Tambah pula kini ada tayangan filem di rumah melalui Astro First, hanya selepas dua minggu ditayangkan di pawagam. Dengan bayaran RM10 untuk satu filem, ia boleh ditonton seisi keluarga dan berulang mengikut masa diinginkan di rumah dalam keadaan lebih selesa dan jimat.

Aktor Bront Palarae dalam Selebriti minggu ini turut meluahkan rasa kesalnya dengan lambakan filem menarik di panggung sepanjang bulan ini. Bront melihat ia perkembangan tidak sihat kerana situasi itu menyebabkan penonton terpaksa membuat pilihan untuk menonton yang mana satu.

Adalah mustahil untuk mereka menonton semuanya dalam keadaan ekonomi sekarang dan mereka perlu selektif.

Masalahnya, pemilihan tarikh tayangan terletak di tangan produser ketika menghantar permohonan kepada Syarat Wajib Tayang.

Memandangkan 16 September adalah cuti umum sempena Hari Malaysia, produser Kapsul sasarkan tarikh itu untuk tayangan filemnya yang turut paparkan kemunculan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sesuai dengan musimnya. Produser Polis Evo juga inginkan tarikh sama kerana filemnya juga sesuai sempena bulan kemerdekaan.

Apabila dua pihak memohon tarikh sama, Syarat Wajib Tayang boleh meluluskan dua filem serentak jika tarikh diminta bertepatan pada cuti umum, cuti perayaan atau cuti sekolah tetapi dengan dua genre berbeza.

Bulan ini juga selain Hari Malaysia, ada cuti perayaan (Aidiladha) dan waktu sama cuti sekolah bermula 19 hingga 27 September menyebabkan dua filem ditayangkan pada 24 September.

Satu persoalan yang sukar dijawab ialah dalam keadaan pasaran tenat sekarang, masih ramai berminat menghasilkan filem. Nyata suasana ini tidak menjejaskan keinginan pembikinan filem untuk terus berkarya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:03 AM