SUEPEK kes tikam dibawa ke Balai Polis Gunung. FOTO Noramalina Alias
SUEPEK kes tikam dibawa ke Balai Polis Gunung. FOTO Noramalina Alias
Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Tukang cat parah manakala rakannya cedera apabila diserang lelaki yang marah dituduh mencuri angsa di Kampung Durian Kudung, Gunung, di sini, 1.15 petang, hari ini.

Kejadian menyebabkan Saruan Mohd Noor, 35, parah di dada kerana ditikam manakala rakannya dikenali Mohd Azim, 25, cedera di kedua-dua tapak tangan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang berehat di bangsal di depan rumah Saruan sebelum suspek berusia 32 tahun hadir bersama golok di tangan.

"Difahamkan, suspek marah dituduh mencuri dan mereka bertengkar sebelum bergelut dan mangsa ditikam di dada. Seorang lagi mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan, cedera di tangan.

"Kejadian disedari adik Saruan dan penduduk kampung yang kemudian bertindak pantas menangkap serta mengikat suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Gunung kira-kira 1.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Mangsa cedera dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 7:19 PM