SITI WAHEEDAH ketengahkan kelainan buat tetamu.
SITI WAHEEDAH ketengahkan kelainan buat tetamu.
ILHAM dekorasi ruang tamu yang selesa.
ILHAM dekorasi ruang tamu yang selesa.
DEKORASI ringkas untuk ruang tidur.
DEKORASI ringkas untuk ruang tidur.
CHENTA Cottage menggunakan sepenuhnya kayu terpakai.
CHENTA Cottage menggunakan sepenuhnya kayu terpakai.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Berada dalam suasana atau latar dekorasi yang privasi nyata menghilangkan tekanan dan keletihan.

Justeru, sesekali menyewa ruang penginapan unik dilihat satu keperluan buat seisi keluarga.

Mengunjungi Chenta Cottage, anda pasti teruja kerana menikmati pengalaman suasana desa walaupun lokasinya di Setapak, Kuala Lumpur.

Menjadikan material kayu sebagai pelengkap, idea seni bina inap desa itu begitu menarik dan unik.

Pengurusnya, Siti Waheedah A Wahid, berkata usaha menzahirkan sesuatu yang berbeza di Chenta Cottage tercetus sebaik melihat banyak bahan terbuang boleh dimanfaatkan.

“Situasi itu mendorong inap desa ini dibina tanpa mengeluarkan belanja besar kerana menggunakan semula kayu terpakai selain inspirasi idea sendiri daripada landskap hingga dekorasi ruang dalaman.

“Ia bukan sesuatu yang sukar jika kita menggunakan sepenuhnya elemen depan mata,” katanya.

Inap desa itu dibina April lalu dan siap untuk penginapan sebulan kemudian. Ia mengabungkan kayu tahan lasak seperti cengal, resak dan merbau manakala kerja pertukangan menggunakan tenaga pakar.

“Penyambungan pada bahagian tertentu dilakukan dengan kemas supaya tidak nampak janggal.

“Jika tidak usaha untuk menampilkan seni bina ala tradisional Melayu mungkin sekadar angan-angan,” katanya yang menawarkan penginapan di Chenta Cottage RM120 satu malam.

Duduk bersantai di bahagian anjung yang dileng–kapi kerusi dan meja santai sudah memadai buat anda menikmati ketenangan sepanjang masa.

Ketika menolak daun pintu utama, rasa teruja untuk menginap lama di situ pasti terasa sebaik terpandang idea dekorasi unik konsep santai dan ringkas.

Dua dinding utama yang menghubungkan ruang antara ruang tamu atau menonton dan ruang makan tampil dengan idea dekoratif menarik.

Berlatarkan panel kayu, dihiasi latar biru laut, lukisan ringkas dan paparan jubin di kiri dan kanan membuatkan ia menjadi titik tumpu luar biasa.

Begitu juga dengan dekoratif pada dinding bersebelahan ruang dapur, semuanya dikreatifkan untuk membangkitkan suasana selesa dan menarik buat tetamu.

“Semua dekoratif ini menggunakan kayu dan elemen hiasan terpakai yang sememangnya berada di sekeliling kita.

“Mencipta dekorasi unik pada saya tidak memerlukan ruang yang terlalu luas. Segalanya bergantung kepada gaya menghias yang menitikberatkan keselesaan tetamu,” katanya.

Ditambah dengan adanya tiang seri di ruang tamu, suasana santai itu juga cukup privasi dan ia semestinya melengkapkan idea seni bina ala tradisional Melayu.

Menerusi ruang tidur, gaya hiasan santai turut diketengahkan dengan tingkap menghadap latar landskap yang semula jadi.

Bukaan tingkap yang direka ala gaya tradisional Melayu itu sekali lagi membawa anda mengimbau nostalgia desa dek terpandang landskap sejuk mata memandang di depan mata.

Ruang mandi dan bilik air turut digayakan seindah mungkin dalam mengilhamkan tata hias praktikal serta ringkas.

Layari Facebook Chenta Cottage -Hotel untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:03 AM