PERANCANGAN teliti tentunya menzahirkan idea persekitaran taman yang sempurna.
PERANCANGAN teliti tentunya menzahirkan idea persekitaran taman yang sempurna.

Keunikan inap desa tidak semestinya terletak pada dekorasi ruang dalaman semata-mata kerana latar landskap yang memukau turut memainkan peranan sebagai tarikan.

Ramai keliru membuat pilihan terbaik untuk binaan taman apatah lagi jika inap desa itu sebuah apartmen.

Inap desa jenis ini tidak memerlukan landskap yang terlalu sarat, memadai dengan gaya ringkas.

Anda boleh menghiasi ruang balkoni dengan beberapa tanaman terpilih dalam pasu termasuk jenis berbunga.

Malah, anda boleh mempelbagaikan tanaman dalam pasu gantung. Pilihan pasu, kedudukan dan jenis tanaman perlu diambil kira selain menitik beratkan keselesaan tetamu anda untuk terus menginap.

Ruang yang ada seperti balkoni boleh juga dilengkapi dengan set kerusi santai untuk sesekali mengambil angin di situ.

Anda yang menyediakan inap desa pada kediaman berlatarkan laman, ia satu kelebihan untuk menonjolkan identiti.

Tidak kira inap desa jenis apartmen atau teres, landskap adalah penggayaan seni taman yang anda inginkan.

Ketengahkan idea penataan landskap yang unik, praktikal dan selesa supaya tidak mengganggu privasi tetamu.

Bagi peminat landskap, tentunya sudah arif dengan elemen penting dalam membina taman semula jadi mengikut idea penggayaan seni taman yang anda inginkan.

Dapatkan sebanyak mungkin ilmu dunia landskap menerusi perkembangan teknologi maklumat dan bahan bacaan.

Biasanya landskap merujuk kepada dua kategori iaitu landskap lembut dan landskap kejur.

Landskap lembut terdiri daripada unsur tanaman sama ada pokok utama, pokok renek, pokok jenis memanjat, pokok herba atau jenis menutup bumi.

Sementara landskap kejur meliputi unsur binaan seperti kerusi taman, tempat pejalan kaki, tempat sampah, papan tanda, lampu, arca dan meja taman.

Apabila dua kategori ini digabungkan, landskap tampil lebih menarik bukan saja menyajikan pemandangan bahkan memberi keselesaan dan ketenangan.

Namun, binaan landskap taman yang diklasifikasikan sempurna jika ia memenuhi cita rasa anda bukannya orang lain.

Landskap yang menenangkan atau sedap mata memandang tidak semudah yang disangka kerana kerja pembinaannya memerlukan perancangan teliti.

Dalam apa jua anda harus bersedia atau sanggup berdepan dengan situasi landskap kurang memberangsangkan.

Menanganinya, anda tidak perlu berputus asa sebaliknya buktikan kesungguhan dengan berusaha merealisasikan sebuah taman indah yang diimpikan.

Lakukan sedikit kajian kesesuaiannya dengan penghuni dan persekitaran. Semestinya suasana semula jadi, pemandangan yang mencuri perhatian di laman pasti memberikan persepsi tersendiri kepada keluarga dan tetamu bertandang.

Tanaman segar dan berbunga menjadi simbol menyambut kehadiran tetamu. Suasana redup dan nyaman lebih terasa di laman kerana ia berfungsi mendinginkan persekitaran.

Susunan menarik pasu yang ditanam pelbagai jenis tanaman dan digantung pada sudut khas di laman menggambarkan latar landskap tersendiri.

Kehadiran kerusi santai benar-benar memberi peluang keindahan landskap dihayati sepenuhnya saban waktu.

Laman indah itu menjadi antara lokasi paling sesuai merehatkan minda dan mencari ketenangan sepanjang masa.

Apabila taman yang diimpikan sudah menjadi kenyataan, kerja penyelenggaraan tidak seharusnya diabaikan.

Ia termasuk penyiraman, merumpai, pembajaan, pemangkasan dan pemotongan rumput.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:02 AM