Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan Azizulhasni Awang apabila tewas dalam final acara pecut di Siri Kedua Grand Prix Asia Tenggara semalam.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut dialaminya dalam acara pecut selepas turut bergelar naib juara pada Siri Pertama yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Bagaimanapun pelumba dari Johor itu berjanji untuk tidak memberikan laluan mudah kepada Azizulhasni dalam acara keirin hari ini.

“Pengalaman mungkin membezakan saya dengan Azizulhasni hari ini (semalam). Namun saya akan memberikan yang terbaik untuk acara keirin esok (hari ini) bagi memburu tempat pertama,” katanya.

Shah Firdaus berkata, dia akan lebih berwaspada pada perlumbaan keirin hari ini selepas kejayaannya menduduki tempat kedua pada Siri Pertama, Rabu lalu dibatalkan apabila didakwa menjadi punca kemalangan.

“Saya perlu lebih berhati-hati agar insiden yang sama tidak berulang,” tambahnya.

Turut cemerlang adalah ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang memenangi emas apabila menewaskan rakan senegara Farina Shawati Mohd Adnan dalam aksi dua pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:07 AM