Dubai: Seorang amah menyerang majikannya kerana enggan membawanya ke salon kecantikan seminggu selepas mula bekerja.

Dia juga memukul ejennya kerana tidak membenarkan dia keluar mencari majikan baru.

Bercakap kepada wartawan, ejen sebuah syarikat pembekal pekerja di Dubai berkata: “Amah itu datang dari sebuah negara Afrika dan baru bekerja. Dia meminta majikannya membawa dia ke salon kecantikan.

“Majikan itu terkejut dan enggan berbuat demikian, menyebabkan mereka bergaduh.”

Ejen itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed berkata, memang perjanjian membolehkan majikan menyerah semula pembantu rumah dalam masa tiga bulan jika tidak sukakannya.

“Apabila dipulangkan majikannya, kami menempatkan amah itu di pejabat sementara mencari majikan baru atau membeli tiket untuk menghantarnya pulang.

“Tetapi, wanita Afrika itu keluar dari pejabat untuk mencari kerja.

“Saya menghalangnya, tetapi dia menyerang dan memukul saya,” kata Mohammed. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:02 AM