Ann (kanan) dan Khairul Nizam.
Ann (kanan) dan Khairul Nizam.

SHUHADA MANSOR terinspirasi dengan perjalanan hidup dua anak muda berjaya dalam hobi merangkap kerjaya mereka. Ikuti kisah mereka dan ‘curi’ idea serta tip yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan kita.

Bertukar cerita mengenai idola atau ikon pasti berbeza bagi setiap orang. Dikatakan sesiapa yang mempunyai idola dalam hidup lebih teguh usahanya untuk mencapai cita-cita seperti ikon yang dikagumi.

Penulis tahu, pelbagai kategori idola yang remaja sekarang tergila-gilakan. Ada tergolong dalam kalangan selebriti, penyanyi, pemain bola sepak, jaguh sukan yang lain bahkan tidak ketinggalan ahli akademik terulung dalam sejarah.

Tidak salah menjadikan seseorang sebagai idola, tetapi pada pendapat penulis, adalah lebih baik kita selidik dan kaji jerih-perih perjalanan dan kisah hidup idola anda sebelum beliau dijulang menjadi individu paling berpengaruh dalam cita-cita anda.

Kita tahu, bukan mudah untuk kita menjadi idola kepada seseorang, tetapi ia tidak mustahil. Bagi dua individu ini, usaha dan kejayaan mereka menjadikan mereka berdiri teguh serta tersenarai yang terbaik dalam cabang kerjaya diceburi. Penulis pasti, kedua-dua mereka pastinya mempunyai peminat tegar sekali gus Gen Y berharap artikel ini mampu memberi idea baru dan meniup semangat tidak mudah mengalah kepada kita semua.

BELAYAR: BUKAN HANYA BERANI

Berkongsi selok-belok perjalanan hidupnya, pelayar elit negara, Khairul Nizam Mohd Afendy, 22 berkata untuk berada di tahap sekarang memerlukannya berkorban banyak perkara.

Katanya, meskipun banyak masa dihabiskan dengan latihan dan sebagainya, kejayaan yang dikecapi tidak sedikit pun membuatkannya rasa rugi bahkan bangga dengan usaha dilakukan.

“Saya tahu ramai antara kita ada hobi yang sangat kita suka hinggakan ada yang impi untuk jadikan kerjaya. Tapi sebelum bermula, kita kena tahu dan mahir perkara terbabit.

“Mungkin tak ramai yang minat dengan sukan pelayaran, tapi ia ada pengikutnya tersendiri. Jangan terlalu sempit dengan tanggapan apabila kita hanya perlu berani untuk melawan ombak kerana berada di lautan.

“Bukan saja berani untuk mengharung ombak, tapi banyak perkara perlu kita faham dalam sukan atau hobi. Selain ombak yang tak boleh dijangka, kita kena cekal dan tak mudah lemah dengan cuaca. Perlu kuat untuk tahan panas dan tahu selok-belok sepatutnya jika ada masalah teknik lain yang timbul,” katanya.

Dia yang ditemui ketika majlis perasmian kempen Milo #takkangentar baru-baru ini menjelaskan, untuk berjaya akan ada kisah jatuh bangun yang mampu membuatkan kita lebih kuat.

“Pernah sekali saya tak henti berlatih untuk turut serta satu kejohanan hinggakan saya mengalami kecederaan belakang badan. Lebih kecewa apabila waktu pertandingan dah hampir. Waktu itu, saya kerja keras untuk tambah berat badan daripada 72 kilogram (kg) kepada 82kg dalam masa enam bulan.

“Apabila dah kerja keras dan diduga dengan kecederaan, kekuatan mental memang ‘down’. Walaupun doktor suruh saya berehat, tetapi saya tak berhenti berlatih sampailah pada hari pertandingan.

“Bagi saya, tak ada apa yang boleh dibandingkan dengan perasaan apabila saya melepasi garisan penamat dan lebih manis apabila ia adalah penampilan pertama saya dan berjaya merangkul pingat yang diimpikan semua,” katanya yang memenangi pingat pada termasya Sukan Olimpik London 2012.

BERLAWAN : JANGAN MUDAH MENGALAH

Jangan memandang rendah dengan statusnya sebagai wanita. Berjaya membentuk kerjaya di gelanggang seni mempertahankan diri meletakkan Ann Osman, 28 berada dalam kelas tersendiri.

Ann berjaya mengharumkan nama negara dengan pencapaiannya sebagai peneraju sukan seni mempertahankan diri campuran atau mixed martial art (MMA) sama ada di dalam mahupun luar negara.

Bagi Ann atau popular dengan gelaran ‘Anthena’ untuk sukan ini, pendakian hidupnya sehingga ke tahap dikenali sebagai pejuang kini bukan jalan mudah.

Menurutnya sejak dulu sifat pejuang dalam dirinya memang kental. Hanya seorang wanita biasa yang turut mengimpikan akan mencapai cita-citanya suatu hari nanti membuatkannya kuat sehingga tercapai sekarang.

Bagaimanapun, ditanya mengenai populariti yang diterimanya sekarang, dia mengakui tidak pernah terfikir untuk mengambil tahu mengenai perkara itu kerana dia tahu hala tujunya kenapa memilih MMA.

“Apabila saya mula berkecimpung dalam sukan ini, saya juga ada kerjaya tetap. Namun, kerana keinginan memuncak untuk mencapai sesuatu lebih besar membuatkan saya terpaksa me­ngorbankan banyak benda kerana benar-benar mahukannya.

“Saya bermula dengan ‘kosong’ dan daripada perkara asas berlawan kerana sebelum ini saya hanya bekerja dalam dunia korporat, tiada asas langsung mengenai MMA. Tapi, apabila sekali saya cuba dan minat, saya terus jadikannya serius dan buat keputusan besar untuk berhenti kerja dan jadikan hobi sebagai kerjaya,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai persepsi masyarakat dalam sukan itu, Ann berkata, mungkin sekarang sudah ramai mula kenal dan membuka mata terhadapnya, namun tidak terlintas langsung untuk rasa dirinya popular.

“Selain MMA, saya ada bisnes sendiri. Saya jenis wanita yang fokus dalam sesuatu yang dibuat. Paling penting terus bekerja keras mencapai matlamat. Tak mudah untuk dipandang masyarakat, tapi ia tidak mustahil untuk dilaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 12:02 PM