Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: “Sejak Jun lalu, bukan saja gaji, malah kami juga tidak menerima elaun lain. Bayangkan bagaimana kami mahu menyara keluarga dan lebih menyedihkan, kami menyambut Aidilfitri lalu dalam keadaan serba kekurangan.

“Punca pendapatan kami ialah bola sepak semata-mata. Bagaimana kami mahu hidup jika gaji tidak dibayar?”

Itu luahan seorang pemain skuad Kedah United yang mengaku tertekan apabila masih belum menerima gaji serta elaun yang tertunggak sejak dua bulan lalu.

Lebih memedihkan, ada di antara mereka terpaksa meminjam wang keluarga atau rakan-rakan gara-gara wang simpanan sudah habis digunakan untuk perbelanjaan harian termasuk kos menghadiri latihan setiap hari.

“Disebabkan masalah gaji tertunggak yang sudah masuk tiga bulan, kami (pemain) bagai hilang fokus untuk beraksi kerana berdepan dengan isu kewangan yang semakin meruncing.

“Dalam kehidupan sekarang, semuanya memerlukan wang untuk kos perjalanan dan makan minum. Apabila gaji tidak dibayar, kami hilang punca pendapatan kerana selain perlu menyara kehidupan sendiri, kami juga perlu menyelesaikan pelbagai bil, ansuran kereta dan rumah.

“Bagi pemain sudah berkeluarga, kehidupan mereka sudah tentu bertambah teruk kerana keperluan anak serta isteri harus disiapkan dan keadaan itu memang membuatkan kami hilang semangat,” kata pemain terbabit yang enggan didedahkan identitinya.

Kemelut yang melanda skuad Kedah United dapat dilihat apabila mereka dibelasah 7-0 oleh MISC-MIFA dalam saingan terakhir Kumpulan B Liga FAM di padang DRB Hicom-Honda, Sungai Petani, baru-baru ini.

Dalam saingan itu, barisan pemain Kedah United semakin longlai dan tidak dapat memberi tumpuan ekoran masalah berkenaan.

Bukan tidak mencuba sebaliknya sudah beberapa kali mereka menghubungi pihak pengurusan pasukan, namun setiap kali itulah ia berakhir dengan jalan buntu selain sering mengelak untuk bertemu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:51 AM