Sibu: Aduan satu keluarga mengenai habuk kayu yang mengotori perkarangan rumah mereka di Taman Indah, Teku di sini, membawa kepada penahanan seorang pemimpin masyarakat di kawasan itu.

Polis yang membuat pemeriksaan di rumah pemimpin masyarakat itu pada 12.35 tengah malam tadi, mendapati lelaki berusia 48 tahun itu menjalankan kegiatan membuat pangkal senapang dan ‘speargun’ tanpa lesen sah.

Susulan itu, polis merampas selaras senapang patah, empat pangkal senapang yang sudah siap dan tiga pangkal senapang belum siap, empat ‘fore-end’ senapang patah sudah siap, empat speargun kayu dan tujuh keping besi dipercayai lembing untuk menangkap ikan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi yang mengesahkan kes itu, berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Ofensif 1958 kerana memiliki senjata api dan senjata berbahaya.

Suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Suspek memberitahu polis bahawa semua barangan itu ialah miliknya kecuali senapang patah yang didakwa milik kawannya.

Dia dipercayai cekap membaiki senjata api selepas mempelajarinya menerusi Internet.

Lelaki itu juga memiliki selaras senapang patah dan mempunyai lesen untuk menggunakannya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 8:20 PM