Sususan Nor Hanisah Kamaruzaman


Percutian kadangkala lebih bermakna jika ibu bapa atau sanak-saudara turut serta. Bagi sesetengah daripada kita, percutian tidak lengkap tanpa kehadiran ibu bapa kerana mereka punca kebahagiaan.

Namun, beberapa perkara perlu titikberatkan apabila bercuti bersama mereka sama ada percutian domestik atau luar negara. Paling utama, pastikan mereka selesa kerana perjalanan yang panjang bukan saja meletihkan malah mungkin mengganggu kesihatan fizikal mereka.

1. Ubat-ubatan dan makanan tambahan

Jika ibu bapa atau warga emas turut serta dalam percutian itu menggunakan ubat berkala dan perlu makan ubat mengikut masa tertentu, pastikan ubat diambil dibawa bersama dan tidak tertinggal.

Ia penting kerana mereka mungkin menghidap penyakit serius seperti jantung, darah tinggi atau kencing manis.

Jika ubat habis sebelum pulang atau tertinggal, cari farmasi terdekat dan dapatkan ubat dengan dos yang betul. Jangan lupa mengambil nota nama ubat dan dos yang mereka ambil sebagai langkah keselamatan.

Jika mereka mengambil makanan tambahan secara berkala, pastikan makanan itu dibawa bersama kerana ia makanan rutin dan mungkin menyebabkan keletihan sekiranya mereka tertinggal mengambilnya.

2. Pakaian

Perjalanan jauh pasti memenatkan dan menimbulkan rasa tidak selesa. Pastikan pemilihan pakaian adalah sesuai dengan waktu perjalanan dan suasana lokasi yang bakal dikunjungi. Jika bertolak pada waktu malam, lebih baik menggunakan pakaian lebih tebal kerana mungkin kesejukan atau pakaian lebih nipis jika cuaca panas.

Tidak salah untuk membeli-belah pakaian baru untuk ibu bapa di tempat pelancongan, namun pastikan mereka selesa dengan suasana membeli-belah itu. Jadi, tidak salah untuk membawa pakaian lebih untuk mereka kerana kemungkinan pakaian baru yang selesa untuk mereka sukar dijumpai atau kurang pilihan.

3. Makanan

Sangat penting untuk mengambil kira soal makan dan lebih mudah sekiranya rutin atau diet pemakanan ibu bapa sudah diketahui. Ini kerana mereka mungkin menghidap penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kencing manis jadi faktor pemakanan perlu diutamakan.

Pastikan kandungan gula dan jenis makanan yang diambil adalah makanan yang sihat dan bersesuaian dengan diet pemakanan mereka. Dengan bantuan teknologi dan Internet, tugas untuk mencari lokasi tempat makan dan restoran yang bersesuaian tidak menjadi sukar. Elakkan makan makanan segera kerana walaupun mudah dijumpai dan didapati pada bila-bila masa, ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’.

4. Elakkan berjalan kaki terlalu lama

Sesetengah ibu bapa tidak menggunakan kerusi roda, namun perlu diingatkan usia mereka mungkin menghalang untuk berjalan pada jangka masa yang lama. Sekiranya perjalanan dan lokasi percutian menuntut berjalan dengan lama, minimumkan waktu jalan kaki dengan meminta mereka menggunakan kerusi roda di tempat biasa yang menyediakan perkhidmatan kerusi roda seperti di pusat beli-belah.

Elakkan juga aktiviti yang memerlukan pergerakan yang banyak seperti berkunjung ke taman tema. Ini kerana mereka bukan saja tidak dapat turut serta malahan mereka kesunyian jika ditinggalkan sendirian sambil ahli keluarga yang lain menikmati aktiviti berkenaan. Tidak salah sekiranya kunjungan ke taman tema dilakukan pada percutian yang berasingan.

5. Utamakan keselamatan ibu bapa

Pastikan ibu bapa anda menyimpan maklumat tempat penginapan, nombor telefon anda dan segala maklumat berkaitan percutian. Ini adalah langkah keselamatan sekiranya mereka memilih untuk keluar atau berjalan bersendirian atau ke lokasi yang berbeza. Tindakan ini penting terutama jika berkunjung ke luar negara kerana ia adalah tempat baru untuk mereka dan sekiranya mereka sesat, ia mudah untuk mereka mendapatkan bantuan.

Pastikan mereka selamat dalam apa jua keadaan kerana sudah pasti anda tidak mahu percutian anda bertukar tragedi. Jadi, pastikan mereka selesa dan sentiasa bersama anda supaya mereka bukan saja tidak rasa kesunyian, malahan dapat menikmati percutian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 10:17 AM