BANDI lebih menghargai kehidupan.
BANDI lebih menghargai kehidupan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Hati bapa mana tidak tersentuh melihat penderitaan anak yang menghidap penyakit serius dan mengancam nyawa jika lambat menjalani rawatan.

Bagaimanapun, penyanyi Bandi Amuk, 51, bersyukur dan lega kerana kesihatan anaknya, Muhammad Saiful Affique, 18, yang berdepan masalah ketumbuhan di bahagian belakang paru-paru semakin stabil.

Anak keempatnya itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru Mei tahun lalu selepas mengadu sakit dan selamat menjalani pembedahan empat bulan kemudian.

Pemilik nama sebenar Nasabandi Jumat ini berkata detik cemas itu masih segar diingatannya. Hanya Tuhan memahami apa yang bermain dalam fikiran dan hatinya.

“Alhamdulillah Affique makin sihat. Saya tidak dapat melupakan insiden cemas itu. Macam tak percaya dia ada ketumbuhan sepanjang 9 sentimeter (sm) dan selebar 15sm kerana nampak sihat. Saya sendiri tak pasti macam mana dia boleh kena penyakit ini.

“Mungkin disebabkan faktor pemakanan dan saya anggap ini dugaan buat kami. Apa yang penting, dia kembali cergas dan menunjukkan perubahan ketara dalam hidupnya.

“Dia semakin rajin ke masjid dan membaca al-Quran. Sebagai bapa, saya sangat terharu dengan perubahan ini dan sering berdoa untuk kebaikannya,” kata Bandi yang ditemui baru-baru ini.

Sambungnya, berikutan kejadian itu dia tidak menyanyi kerana bimbang keadaan puteranya.

“Tawaran memang ada tapi bagaimana nak terima kalau lirik pun saya lupa kerana susah hati mengenangkan kesakitan anak. Saya berterima kasih dengan Ali (bekas penyanyi XPDC) kerana sudi menggantikan tempat saya menjayakan beberapa persembahan yang sudah dipersetujui.

“Boleh dikatakan separuh semangat saya hilang ketika itu. Depan Affique memang saya tunjuk kuat tapi dibelakangnya saya menangis.

“Sekarang Affique semakin menghargai kehidupan. Bukan dia saja, bahkan kami sekeluarga juga begitu. Saya minta semua peminat mendoakan kesihatan Affique,” katanya yang mempunyai lima anak dan tiga cucu.

Fikir banyak kali

Mengulas perkembangan karier, Bandi masih menerima tawaran menyanyi di seluruh negara dan ‘funfair’ di pedalaman Sabah.

“Syukur saya masih laris di Sabah. Sebenarnya tak semua artis diterima peminat kerana persembahan dikenakan tiket. Seronok kerana peminat di sana menghargai saya.

“Tidak dinafikan saya kurang muncul di kaca TV dan media cetak, tetapi aktiviti seni saya masih rancak. Lagipun buat apa muncul jika tiada cerita baru.

“Biarlah saya tampil sesekali dengan cerita menarik. seperkara lagi, menetap di Johor juga mungkin menjadi sebab mengapa saya kurang mendapat publisiti. Bagaimanapun, saya lega kerana masih boleh cari makan dalam bidang ini,” katanya.

Bandi turut memaklumkan sudah ada lagu baru dan barisan pemuzik yang mantap. Andai ada syarikat rakaman berani menawarkan harga menarik, hasrat untuk muncul dengan lagu baru itu akan dapat direalisasikan.

“Saya bergerak secara solo dan kumpulan bergantung kepada permintaan. Tak dinafikan peminat sering bertanya mengenai produk baru, tetapi saya perlukan material yang bagus.

“Seperkara lagi, kalau buat pun peminat tetap nak dengar lagu lama saya manakala stesen radio pula belum tentu sudi memutarkan lagu baru.

“Lagu sudah ada, tinggal lagi tawaran daripada syarikat rakaman. Harap ada yang sudi tawarkan harga terbaik,” katanya.

Bandi kini turut berjinak-jinak dengan pementasan teater apabila menjayakan Wira Samudera yang dipersembahkan di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor April lalu.

“Saya dapat peluang ini kerana kenal baik dengan pengarahnya, Onn Jaafar. Saya bawa watak Daeng Menampuk.

“Berlakon teater bukan mudah, namun saya mula jatuh cinta. Andai ada tawaran lagi selepas ini saya akan terima,” katanya.

Teater yang diterajui Ungku Ismail Aziz dan Maya Ruslee itu mendapat sambutan hangat apabila dewan penuh sepanjang tiga hari dipersembahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 12:20 PM