MENARIK antara menu disajikan.
MENARIK antara menu disajikan.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Keenakan pisang goreng keju (cheese), The Gorpis pencuci mulut di Kafe Kopi XOXO milik dua selebriti, Nora Danish serta Betty Rahmad bersama tiga rakan sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Mana tidaknya salutan tepung rangup serta dihidangkan panas ketika itu dinikmati bersama kopi kampung ais dalam kole semestinya gandingan tidak mampu dilupakan buat peminat makanan andainya mengunjungi kafe berkenaan di Bangsar.

Malah hidangan itu menawarkan pilihan mengujakan seperti White Chocolate, Chocolate, Strawberry dan Original membuatkan juadah manis itu tidak menjemukan bagi pengunjung datang berkali-kali menikmati hidangan itu.

Pengasas bersama kakak Nora, Nadya Danish berkata menu di kafe terbabit mempunyai konsep ‘fusion’ gabungan tempatan mahupun Barat, membuatkan hidangan mereka

mudah dihadam selera pengunjung selain turut dikunjungi warga asing di sekitar Kuala Lumpur.

“Setakat ini hidangan tetap kita tampilkan dalam senarai menu biarpun hampir setahun, kami masih menerima sambutan memuaskan dan ramai menyukai pilihan menu terbabit.

“Menariknya menu kami hidangkan ini mempunyai sentuhan ‘personal’ apabila setiap kami selaku pemilik bersama berkongsi idea dalam pilihan menu dihidangkan.

“Selain itu, cukup ‘authentic’ kerana Kopi XOXO turut menawarkan minuman kopi kampung yang mana pilihan serta adunan itu kami lakukan sendiri untuk ketengahkan kelainan dalam pilihan kopi disajikan kafe,” katanya.

Tidak menafikan hidangan The Gorpis antara ‘pelaris’ menarik peminat pisang goreng ‘cheese’ kembali mengunjungi kedainya.

“Reputasi The Gorpis, ramai sedia maklum ia antara pilihan pencuci mulut mesti dipesan pelanggan di sini. Meskipun tahu hidangan berkenaan antara paling hangat, kami tetap menjaga kualiti servis apabila pisang ini hanya digoreng sebaik dipesan.

“Kami turut menyediakan servis penghantaran dan tempahan diperlukan untuk kuantiti banyak. Selain itu kami mempunyai pelbagai pilihan minuman kopi berkualiti barista untuk peminat minuman berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:00 AM