(Dari kiri) Sreedhar, Norani dan Yang Dipertua RACTAR Tengku Puteri Norzehan Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah melancarkanprogram ABN4U – ‘Akses Untuk Semua’ di RACTAR, Subang Jaya, baru-baru ini.
(Dari kiri) Sreedhar, Norani dan Yang Dipertua RACTAR Tengku Puteri Norzehan Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah melancarkanprogram ABN4U – ‘Akses Untuk Semua’ di RACTAR, Subang Jaya, baru-baru ini.
Oleh Mahaizura Abd Malek

Subang Jaya: Sebanyak 65 rumah kebajikan yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 241 rumah kebajikan yang berdaftar di Lembah Klang dan Johor Bahru akan mendapat WiFi Hotspot 10Mbps dan 50 siaran TV berdefinisi tinggi dalam usaha memperluaskan penguasaan dan pendedahan teknologi komunikasi di kalangan golongan kurang bernasib baik.

Rumah kebajikan itu akan menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi ABNxcess dan siaran TV definisi tinggi itu di bawah program ABN4U yang disediakan oleh Asian Broadcasting Network Sdn Bhd (ABNxcess).

Ketua Pengarah JKM Norani Mohd Hashim berkata, program ‘Akses Untuk Semua’ hasil usahasama JKM dan ABNxcess itu akan memberi lebih peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk menikmati kemudahan akses internet dan penggunaan aplikasi pada telekomunikasi seperti telefon pintar, tablet dan komputer.

“Terima kasih diucapkan kepada ABNxcess di atas inisiatif mereka untuk menghubungkan institusi kebajikan di bawah JKM dengan perkhidmatan internet talian tetap berkelajuan tinggi dan 50 siaran TV.

“Saya amat berharap akan ada lebih usahasama dengan sektor swasta yang lain yang boleh memberikan manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan ini,” katanya ketika melancarkan program ABN4U di Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) sini, Ahad lalu.

Ketika ini, katanya, dua rumah kebajikan iaitu RACTAR dan Pertubuhan Rahoma Darul Fakir di USJ 1 dan USJ11, Subang Jaya sudah mendapat perkhidmatan ini manakala rumah kebajikan lain sedang dalam proses penyambungan.

Menurutnya, buat masa ini program ABN4U memfokuskan kawasan Lembah Kelang dan Johor Bahru dan boleh diperluaskan ke seluruh negara jika mendapat sokongan dan bantuan bersesuaian daripada pihak berkenaan terutama korporat dan swasta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABNxcess Sreedhar Subramaniam berkata, manfaat dari inisiatif tanggungjawab korporat ABNxcess di bawah program ABN4U membabitkan kos penyelenggaraan lebih RM500,000.

Menurutnya, di bawah inisitaif ini, ABNxcess akan menyediakan perkhidmatan WiFi Hotspot 10Mbps dan 50 siaran TV berdifinisi tinggi di rumah kebajikan terbabit.

“Perkhidmatan ini diberikan secara percuma seumur hidup. Kos penyelenggaraan program ini mencecah lebih RM500,000.00 apabila kesemua rumah kebajikan ini dihubungkan dengan perkhidmatan ABNxcess,” katanya.

Katanya, objektif program itu adalah untuk menghubungkan kesemua rumah kebajikan seliaan JKM serta mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat Malaysia terutama dalam kalangan golongan tidak bernasib baik.

“Rumah JKM dan rumah kebajikan yang berdaftar dengannya dihuni oleh golongan kurang berkemampuan. Sesetengahnya akan menjadi pemimpin dan pentadbir negara di masa hadapan.

“Pendedahan kepada teknologi ICT merupakan jalan terbaik untuk menyediakan mereka untuk masa hadapan kerana ia menjadi keperluan asas seperti bekalan tenaga elektrik dan air bersih.

“Kami berharap sumbangan kecil ini mampu memberikan impak yang besar kepada rumah kebajikan ini kerana kami difahamkan rumah kebajikan diuruskan dengan dana yang amat terhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 6:40 PM