DATSUN 620.
DATSUN 620.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Dua tahun diperlukan sepasang suami isteri untuk menjelmakan trak pikap Datsun 620 keluaran 1973 dengan menggunakan konsep ‘hot rod’ yang terkenal di Amerika Syarikat

Jentera digemari pasangan Nurul Fiza Abdul Ghapar, 32, dan suaminya Mohd Fauzan Azim, 31, adalah kenderaan digunakan untuk mengangkut barang, selain meminatinya sejak kanak-kanak berikutan tertarik dengan permainan jenama Hot Wheel.

Nurul Fiza memaklumkan, dia dibesarkan dengan permainan itu dan jenis kenderaan yang diminatinya adalah pikap dan kereta dua pintu.

Akibat pendedahan serta minat mendalam terhadap kenderaan lama, dia mula menanam hasrat untuk memilikinya satu hari nanti.

Impiannya tercapai selepas berkahwin dengan suami yang turut meminati kereta klasik pada 2007 dan membeli trak pikap Datsun 620 keluaran 1973 berharga RM2,500.

Kenderaan itu diubah suai menggunakan konsep jentera klasik di Amerika Syarikat dan mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, pemilik masih mengekalkan banyak komponen asal seperti ruang kabin, bampar, lampu dan meter kelajuan bagi menyerlahkan keasliannya.

Kabinnya dikemas kini menggunakan kulit yang dibina khas untuk memberi imej menarik serta keselesaan berbanding tempat duduk asal.

Ruangan enjin dijaga rapi biarpun masih menggunakan enjin asal berkapasiti 1,300 cc, malah pemilik melakukan sedikit pengubahsuaian beberapa komponen rangkaian kuasa termasuk kotak gear.

Bahagian belakang sebelum ini mereput, ditempah khas bagi memberikan gaya mewah serta dipadankan rim 20 inci seolah-olah membuatkan ia kelihatan sebuah kenderaan Hot Wheel.

Tidak cukup dengan itu, sistem audio berkualiti tinggi turut dipasang pada ruangan kabin serta menggunakan pemain cakera jenama Pioneer Double Din.

Turut dipasang sebuah power amplifier DLS yang mempunyai kekuatan 1,200 watt serta empat speaker dari jenama sama.

Namun, antara keseluruhan bahagian jentera ini, bahagian bonet hadapan kerap mencuri tumpuan apabila pemilik melukis lakaran tersendiri dengan menggunakan teknik semburan biasa dan mengambil masa hampir dua bulan.

INFO

- MODEL: Datsun 620 buatan 1973

- ENJIN: Asal 1,300 cc

- MODIFIKASI:

*Rim 20 inci

*Ruang kabin dikemas kini dengan kemas

*Tempat duduk dibaluti material kulit

*Ruang kargo ditempah khas

*Bonet hadapan disembur dengan sentuhan pemiliknya

- AUDIO:

*Pemain audio Pioneer

*Pembesar suara DSL

*Amplifier DSL 1,200 watt

- KOS MODIFIKASI: RM10,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:00 AM