GAYA mewah dan eksklusif dizahirkan.
GAYA mewah dan eksklusif dizahirkan.

Popular sebagai ruang interaksi kedua, ruang makan turut diberi perhatian sepanjang Syawal ini untuk meraikan tetamu sebaik mungkin.

Faktor keluasan ruang juga banyak mempengaruhi penataan di ruang berkenaan yang biasanya berlatarkan gaya pilihan pemiliknya.

Bagi ruang makan yang terhad, penggunaan cermin lebih banyak membantu menampakkan suasana luas atau lapang.

Ketengahkan kertas dinding dalam warna atau corak sesuai dalam memainkan peranan untuk membangkitkan aura ceria dan selesa ketika menjamu selera.

Tidak terkecuali idea penataan ruang makan berkeluasan sederhana yang semestinya memerlukan perancangan teliti.

Dalam situasi ini, pemilihan perabot yang bersesuaian penting untuk memenuhi keselesaan dan bertepatan dekorasi kediaman.

Paling penting ketengahkan perabot, perhiasan dan kelengkapan sajian yang tahan lasak, berkualiti serta bersih.

Anda yang memilih dekorasi konsep terbuka dilihat sebagai alternatif dan langkah praktikal.

Bagaimanapun, anda yang mempunyai bajet besar dan inginkan ruang makan lebih tampil mewah biasanya membabitkan kerja pengubahsuaian pada saiz tertentu.

Sudah tentu semua bahagian diberi perhatian supaya segala yang dirancang benar-benar dizahirkan di depan mata.

Dari sudut pandangan atas, kiri, kanan dan bawah semuanya haruslah diberikan sentuhan unik dalam usaha menghasilkan paparan ruang berbeza, gah dan eksklusif.

Bagi yang mementingkan keselesaan dan kualiti sesuatu perabot, pemilihan perabot berjenama sememangnya mampu memberi kepuasan berganda.

Pada masa sama idea menghias meja makan turut dikongsikan di ruangan ini. Letakkan beberapa perhiasan yang mempunyai ketinggian berbeza bagi menampilkan gaya elegan pada ruang itu.

Meja makan tentunya lebih menyerlah dengan penataan cahaya sempurna dan tidak keterlaluan.

Lampu yang agak kuning dan malap umpamanya mampu membangkitkan suasana romantik.

Seterusnya gunakan warna yang bersesuaian sebagai alas meja dan pinggan mangkuk.

Penggunaan alas meja gelap kurang digalakkan sebaliknya pilihan warna lembut dilihat lebih sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 12:01 AM